Siswazah FST

 FST Postgraduate

SARJANA SAINS (SAINS MARIN)

Sebagai sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam yang terulung di Malaysia, UKM telah mula mengorak langkah dengan mengalakkan pusat-pusat pengajiannya menawarkan pengajian sains lanjutan pasca-siswazah. UKM juga merupakan salah sebuah institusi pengajian tinggi awam yang mempelopori program pengajian sains laut di peringkat prasiswazah. Program pengajian sains laut ini, sejak mula ditubuhkan pada tahun 1985 telah menawarkan berbagai kursus yang merangkumi segala aspek fizikal, kimia dan biologi marin di bawah kampus cawangan UKM di Kota Kinabalu, Sabah. Program ini telah berpindah ke kampus induk UKM di Bangi pada akhir tahun 1995 dan sekarang beroperasi dalam Pusat Pengajian Sains Sekitaran dan Sumber Alam, Fakulti Sains dan Teknologi. 

Semenjak penubuhannya, Program Sains Laut UKM telah mengalami perkembangan dari aspek bilangan kakitangan akademik, kepakaran, bilangan pelajar dan prasarana pengajaran dan penyelidikan. Kini ahli akademik Program Sains Laut UKM telah dapat mencipta nama di peringkat Kebangsaan dan antarabangsa dalam beberapa bidang seperti kajian kepelbagaian organisma marin, sains perikanan dan ekologi ikan, kajian masalah algae beracun, mikrobiologi dan bioteknologi marin dan kajian iklim khususnya yang berkait dengan fenomena El Nino dan La Nina. Pengiktirafan ini dapat diukur berdasarkan peranan ahli akademik program sebagai pemimpin atau koordinator beberapa program serantau anjuran JSPS, IAEA dan IOC. Beberapa orang ahli akademik program ini juga sering mendapat jemputan atau memberi ceramah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Dengan kemajuan yang telah dicapai dalam pengajaran dan penyelidikan, Program Sains Laut UKM kini bersedia untuk menawarkan program pengajian pascasiswazah dalam sains marin.

Kerja kursus & Sepenuh masa

Minimum 2 semester (1 tahun)

Maksimum 4 semester (2 tahun)

 

Kemasukan – 2 kali setiap tahun (Mac dan Okt)

 

*tertakluk kepada kalendar akademik UKM

Bahasa Inggeris

SemesterTaraf KursusKod dan Nama KursusJumlah Kredit
I

Kursus Wajib

STPD6024   Kaedah Penyelidikan

STAP6064   Sistem Maklumat Geografi dan Penderiaan Jauh

STAP6974   Projek Penyelidikan I

12

Kursus Pilihan

STAL6013   Ekologi Marin Lanjutan

STAL6033   Mikrobiologi Dan Bioteknologi Marin

STAL6213   Oseanografi Pesisir Pantai dan Estuari

9
II

Kursus Wajib

STAP6986   Projek Penyelidikan II

6
Kursus Pilihan

STAL6023   Marikultur

STAL6043   Pengurusan Dan Pemuliharaan Sumber Marin

STAL6103   Kimia Marin Lanjutan

STAL6034   Kaedah Analisis Data Dalam Sains Marin

13

Jumlah Keseluruhan Kredit

40

STPD6024 Kaedah Penyelidikan

Kursus ini memperkenalkan pelajar kepada bidang penyelidikan. Kursus ini memberikan para pelajar maklumat yang diperlukan untuk melengkapkan Master atau PhD mereka melalui penyelidikan di FST, UKM. Sepanjang 12 minggu kuliah, pelajar diajar falsafah, dan etika penyelidikan. Mereka dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan dalam menulis cadangan penyelidikan mereka, persembahan penyelidikan dan kompilasi penyelidikan dalam bentuk tesis atau disertasi. Kemahiran seperti reka bentuk eksperimen, endnote, mendeley, turnitin, penerbitan, persembahan lisan dan banyak lagi diajar dalam 44 jam kontak dengan pelajar. Pelajar kemudiannya dinilai berdasarkan cadangan penyelidikan, pembentangan cadangan penyelidikan dan dan peperiksaan akhir.

 

STAL6013 Ekologi Marin Lanjutan

Dalam kursus ini, ekologi marin akan dibincangkan secara mendalam dengan memberi penumpuan kepada lautan tropika dan subtropika. Aspek pertama yang akan dibincangkan adalah penghasilan primer dan sekunder. Ini diikuti oleh perbincangan mengenai dinamik populasi pengguna, persaingan antara pengguna dan hubungan antara pengguna dan penghasil. Selanjutnya struktur dan dinamik komuniti marin akan dibincangkan yang akan merangkumi struktur trofik, struktur taksonomi, dinamik ruang dan perkembangan komuniti. Selepas itu akan dibincangkan proses-proses dan kitaran biogeokimia yang berfungsi dalam sekitaran marin. Bahagian akhir kursus ini akan menumpu kepada proses perubahan jangka pendek dan jangka panjang yang terdapat dalam sekitaran marin dan kesan perubahan-perubahan ini terhadap komuniti marin.

 

STAL6023 Marikultur

Kursus ini akan membincangkan secara lebih terperinci perkembangan industri kultur organisma marin seperti spesies-spesies ikan terpilih, kerang-kerangan, sefalopoda, krustasea serta spesies haiwan laut lain yang berpotensi.  Tajuk-tajuk yang akan dibincangkan bermula dari aspek-aspek teknikal dalam pemilihan tapak, penyediaan kolam atau sangkar sistem air masin, pengendalian dan pengawalan stok kultur haiwan, keperluan zat makanan serta formulasi makanan, pengangkutan spesies haiwan marin hidup, dan pengurusan ekonomi marikultur.   Kursus ini juga akan memberi penekanan terhadap kajian kes melalui lawatan-lawatan di tapak marikultur terpilih di Semenanjung Malaysia.

 

STAL6033 Mikrobiologi dan Bioteknologi Marin

Kursus ini akan membincangkan secara lebih terperinci aktiviti mikrorganisma dalam lautan. Pengajian dalam mikrobiologi molekul marin yang mencakupi beberapa proses termasuklah bioremediasi dalam degradasi hidrokarbon, interaksi mikrob dengan logam dan pengadaptasian mikrob terhadap tekanan dan suhu lautan ekstrim akan diberi penekanan.  Selain daripada itu, aspek-aspek bioaktif metabolit yang terlibat dalam aktiviti interaksi simbiotik mikrorganisma marin juga turut dibincangkan.  Pengajian di atas adalah seiring dengan pendekatan bioteknologi khususnya dalam pencirian sistematik mikrorganisma marin dan bioremediasi.  Kaedah-kaedah amali akan menumpu kepada kaedah-kaedah pengekstraksian DNA, proses PCR, penjujukan gen serta pengurusan dan analisis data.

 

STAL6034 Kaedah Analisis Data Untuk Sains Marin

Kajian oseanografi and kajian iklim/meteorologi biasanya melibatkan penggunaan data bertaburan reruang dan masa yang kompleks. Data-data ini disimpan dalam pelbagai format untuk memudahkan transmisi data yang melimpah melalui internet. Kursus ini akan memperkenalkan teknik-teknik pemprosesan format-format data tersebut. Beberapa pakej perisian yang biasanya digunakan akan diperkenalkan. Selain itu, beberapa teknik terbaru dalam penganalisaan data-data taburan reruang dan masa turut akan dibincangkan. Teknik-teknik penganalisaan ini termasuklah analisis reruang, analisis siri masa moden dan juga analisis reruang-masa secara serentak. 

 

STAL6043 Pengurusan dan Pemuliharaan Sumber Marin

Kursus ini akan membincangkan aktiviti eksploitasi manusia terhadap sumber perikanan pesisiran pantai dan laut lepas.  Sejarah dan aliran eksploitasi sumber perikanan sejagat bagi spesies-spesies ikan komersil terpilih, status dan tahap pengurusan sumber perikanan dunia dan kaedah pemodelan yang digunakan bagi menilai status stok perikanan marin. Perbincangan terperinci juga akan ditumpukan kepada perkembangan terkini dalam aspek pemuliharaan sumber marin tersebut yang merangkumi polisi dan perundangan berkaitan dengan pengurusan dan pemuliharaan sumber marin.

 

STAL6103 Kimia Marin Lanjutan

Kursus ini adalah lanjutan dari kimia marin asas yang akan menekankan kepada beberapa aspek yang penting dalam sistem lautan. Proses yang mengawal komposisi air laut dan taburan spesies kimia dalam sistem lautan. Perbincangan akan tertumpu kepada sifat-sifat kimia marin yang berlaku yang mempunyai perkaitan di antara lantai lautan, ruang udara dan organisma marin. Perbincangan isu terkini mengenai penyelidikan dalam bidang kimia marin akan diadakan.

 

STAL6213 Oseanografi Pesisir Pantai dan Estuari

Kursus ini memberikan pemahaman mendalam bagi proses-proses oseanografi fizikal di kawasan persisiran, pelantar laut dan estuari. Bahagian pertama kursus merangkumi aspek-aspek fizikal estuari termasuk pengelasan estuari, peredaran, penstrataan, proses campuran serta pengaruh gelombang dan pasang-surut. Pengangkutan sedimen dan bahan pencemar di kawasan estuari turut dibincangkan. Bahagian kedua merangkumi proses-proses oseanografi fizikal di kawasan persisiran dan pelantar laut termasuk proses campuran, pengaruh gelombang dan pasang-surut, peredaran dan arus, penstrataan dan perenggan. Penukaran antara pelantar laut dan lautan terbuka juga turut dibincang.

  • Ijazah sarjana muda dalam bidang berkaitan dengan PNGK minimum 2.50, atau yang setara dengannya, dari institusi pengajian tinggi yang diiktiraf oleh Senat Universiti; atau
  • Ijazah sarjana muda dalam bidang berkaitan dengan PNGK minimum 2.00 hingga 2.49 atau yang setara dengannya, boleh diterima masuk tertakluk kepada minimum 5 tahun pengalaman bekerja atau penyelidikan dalam bidang yang berkaitan. Pembuktian pengalaman kerja calon luar negara perlu disahkan oleh Kedutaan negara masing-masing; atau
  • Memenuhi Kelayakan Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL A) bagi calon warganegara sahaja;
    • Berumur sekurang-kurangnya 30 tahun pada tarikh permohonan; dan
    • Memiliki kelayakan STPM atau Diploma dalam bidang berkaitan atau kelayakan lain yang setara yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia dan diluluskan Senat Universiti; dan
    • Memiliki Sijil Perakuan APEL MQA dengan Tahap 7 MQF.
  • Pelajar bukan warganegara perlu mendapat keputusan minimum TOEFL (iBT) skor 46 / IELTS band 5.5 / CEFR band B2 / MUET band 3 (Pelajar dari luar negara yang berasal dari negara yang Bahasa Inggeris adalah bahasa rasminya atau memiliki kelayakan akademik yang diperoleh dari mana-mana institusi pengajian tinggi yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dikecualikan daripada IELTS / TOEFL / CERF / MUET); dan
  • Memenuhi apa-apa syarat lain yang ditetapkan oleh Senat Universiti dari semasa ke semasa.
  1. Pegawai penyelidik, Pegawai Sains
  2. Pegawai perikanan
  3. Pegawai Kajicuaca, Ahli Metereologi/ Penganalisa data meterologi-laut
  4. Juruperunding Alam Sekitar
  5. Pengurus Akuakultur, Usahawan

 

Penyelaras Program

Dr. Khoo Mei Ling

Emel : meilingkhoo@ukm.edu.my
Tel : 

Yuran Pengajian

Wargenagara

RM5,970.00 / pengajian (minimum 2 semester)
  • RM 1,010.00 - Yuran Pendaftaran (semester pertama sahaja)
  • RM 420.00 - Yuran Perkhidmatan & Aktiviti (setiap semester)
  • RM 103.00 - Yuran Pengajian (per kredit)
  • RM 1,430.00 + (RM 103.00 x bil. kredit) - Jumlah keseluruhan yuran semester pertama
  • RM 420.00 + (RM 103.00 x bil. kredit) - Jumlah keseluruhan yuran semester berikutnya

Bukan Wargenagara

RM34,610.00 / pengajian (minimum 2 semester)
  • RM 1,410.00 - Yuran Pendaftaran (semester pertama sahaja)
  • RM 16,600.00 - Yuran Pengajian
  • RM 18,010.00 - Jumlah keseluruhan yuran semester pertama
  • RM 16,600.00 - Jumlah keseluruhan yuran semester kedua

Penasihat Program

Translate »