Siswazah FST

 FST Postgraduate

SARJANA SAINS (SISTEMATIK TUMBUHAN)

Sebagai disiplin biologi yang paling asas dan penting, bidang sistematik tumbuhan adalah komponen yang sangat penting dalam menyokong kajian kepelbagaian biologi sesuatu kawasan. Minat terhadap bidang taksonomi tumbuhan dan ekologi di rantau Asia semakin meningkat kerana ia sesuai dengan usaha-usaha memajukan bidang pertanian, makanan, perhutanan, farmaseutikal dan juga usaha-usaha untuk melestarikan pembangunan alam sekitar. Program ini diharapkan akan membantu menghasilkan siswazah terlatih yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang kukuh dalam bidang taksonomi dan sistematik.

Pelajar yang mengikuti kursus ini akan didedahkan kepada asas-asas penting dan kaedah terkini di dalam sistematik tumbuhan. Ini diperkemaskan lagi dengan penyelidikan yang akan dijalankan bagi mendedahkan mereka kepada kaedah-kaedah yang dipelajari di dalam kuliah. Universiti mempunyai berbagai kepakaran di dalam sistematik tumbuhan dan kekuatan penyelidikan serta kakitangan para taksonomi yang berpengalaman. Universiti juga mempunyai sumber dan pusat-pusat penyelidikan yang sangat baik untuk menyokong program ini. Herbarium Mohd. Kassim Rajab (UKMB) yang diasaskan pada tahun 1970 mempunyai lebih 50,000 spesimen dari seluruh Malaysia dengan rujukan taksonomi yang lengkap dan pengkalan data koleksi, pemuliharaan, kegunaan dan pengurusan data tumbuhan Malaysia yang terkini. Koleksi herbarium disokong dengan koleksi hidup pteridofit di Taman Paku Pakis dan 81 ha Hutan Simpan Kekal UKM Bangi di kawasan berdekatan yang senang dilawati oleh pelajar. Universiti juga mempunyai stesen Kajian Bukit Fraser untuk kajian dan pembelajaran ekosistem tanah tinggi. Kemudahan asas yang lain seperti rumah kaca, plot eksperimen, mikroskopi elektron juga disediakan.

Kerja kursus & Sepenuh masa

Minimum 2 semester (1 tahun)

Maksimum 4 semester (2 tahun)

 

Kemasukan – 2 kali setiap tahun (Mac dan Okt)

 

*tertakluk kepada kalendar akademik UKM

Bahasa Inggeris

SemesterTaraf KursusKod dan Nama KursusJumlah Kredit
I

Kursus Wajib

STPD6024   Kaedah Penyelidikan

STAP6043   Kepelbagaian dan Sistematik Tumbuhan

STAP6974   Projek Penyelidikan I

11

Kursus Pilihan

STAB6174   Prinsip dan Kaedah Pembinaan Semula Filogeni

STAB6123   Pengurusan Data dan Sumber Taksonomi

STAB6153   Mikromorfologi dan Anatomi Tumbuhan

10
II

Kursus Wajib

STAB6143   Botani Ekonomi Dan Etnobotani

STAP6986   Projek Penyelidikan II

9
Kursus Pilihan

STAP6033   Biogeografi

STAB6134   Filogeni, Kepelbagaian dan Taksonomi Kriptogram

STAB6013   Biologi Pemuliharaan

10

Jumlah Keseluruhan Kredit

40

STPD6024 Kaedah Penyelidikan

Kursus ini memperkenalkan pelajar kepada bidang penyelidikan. Kursus ini memberikan para pelajar maklumat yang diperlukan untuk melengkapkan Master atau PhD mereka melalui penyelidikan di FST, UKM. Sepanjang 12 minggu kuliah, pelajar diajar falsafah, dan etika penyelidikan. Mereka dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan dalam menulis cadangan penyelidikan mereka, persembahan penyelidikan dan kompilasi penyelidikan dalam bentuk tesis atau disertasi. Kemahiran seperti reka bentuk eksperimen, endnote, mendeley, turnitin, penerbitan, persembahan lisan dan banyak lagi diajar dalam 44 jam kontak dengan pelajar. Pelajar kemudiannya dinilai berdasarkan cadangan penyelidikan, pembentangan cadangan penyelidikan dan dan peperiksaan akhir.

 

STAB6013 Biologi Pemuliharaan

Keadaan bumi pada masa ini berada ditahap yang kritikal kerana ekosistem semulajadinya terancam oleh aktiviti manusia. Bagi menangani masalah ini, satu disiplin sains baru telah wujud, iaitu, Biologi Pemuliharaan. Disiplin ini tidak hanya menumpukan perhatian kepada kemandirian spesies. Malah disiplin ini juga mengambilkira aspek falsafah moral, keadilan sosial, ekonomi dan politik. Kursus ini dibahagikan kepada beberapa bahagian untuk menonjolkan pendekatan multidisiplin ini, iaitu: asal-usul Biologi Pemuliharaan; kepelbagaian biologi dan kepentingannya; ancaman terhadap kepelbagaian biologi; perlindungan, pemulihan dan pengurusan populasi, spesies, habitat dan ekosistem; dan, ekonomi dan pembangunan mapan.

 

STAB6043 Kepelbagaian dan Sistematik Tumbuhan

Kursus ini mencakupi pengenalan kepada skop dan Kepentingan sistematik tumbuhan kepada Kepelbagaian biologi tumbuhan dengan mengutarakan pengecaman, pengelasan tumbuhan dan untuk memahami amalan tatanama botani. Suatu liputan ringkas Sejarah taksonomi dan juga pengelasan sistematik di era moden akan diberikan. Penekanan akan diberikan kepada taksonomi memahami konsep populasi, spesies, genus dan famili dan kategori lain dalam hierarki taksonomi. Kursus juga akan memfokuskan ke atas keadaan, jenis dan penggunaan bukit taksonomi dengan memberi perhatian kepada bukti tradisi di samping bukti molekul yang moden seperti DNA. Kursus akan diakhiri dengan perbincangan ke atas apa yang dilakukan oleh institusi taksonomi dan apa yang dibuat oleh ahli taksonomi dalam amalan biasa.

 

STAB6123  Pengurusan Data dan Sumber Taksonomi

Kursus ini memperkenalkan pelajar kepada kaedah terkini di dalam pengurusan data taksonomi dan sumber. Ia meliputi sistem maklumat dan dokumentasi yang merupakan aspek penting dalam pengurusan maklumat kepelbagaian biologi. Pelajar diperkenalkan kepada konsep dan asas pengkalan data, sistem maklumat, pengumpulan dan penyuntingan data. Pelajar juga didedahkan kepada pelbagai perisian computer (Microsoft, GIS, dll.) dan berupaya merekabentuk sistem pengurusan pengkalan data.

 

STAB6134 Filogeni, Kepelbagaian dan Taksonomi Kriptogram

Kursus ini akan memberikan pendedahan terperinci kepada aspek-aspek taksonomi, ekologi, fitogeografi, biologi pembiakan, kepelbagaian, pengelasan dan filogeni tumbuhan peringkat rendah atau kriptogram. Ia akan mencakupi tiga kumpulan tumbuhan kriptogram yang utama iaitu alga, briofit dan pteridofit. Amali mengenai teknik mengumpul, mengkod, hirisan dan penyediaan slaid serta kaedah pengecaman juga akan diberi fokus untuk ketiga-tiga kumpulan tersebut.

 

STAB6153 Mikromorfologi dan Anatomi Tumbuhan

Kursus ini membincangkan kepelbagaian dan ciri-ciri mikromorfologi dan anatomi tumbuhan termasuk ciri debunga tumbuhan. Ciri anatomi daun dan mikromorfologi daun dan kesesuaian ciri-ciri itu sebagai bukti tambahan dalam kajian sistematik tumbuhan diperbincangkan. Contoh-contoh akan diberi daripada spesies tempatan dan beberapa spesies luar. Ciri-ciri morfologi debunga yang digunakan untuk pengecaman spesies juga akan dibincangkan termasuk jenis, kelas dan hiasan eksin serta apertur. Mini projek berkaitan diberikan kepada pelajar untuk meningkatkan pemahaman dan pendedahan kepada aplikasi pengetahuan yang diperolehi.

 

STAB6174 Prinsip dan Kaedah Pembinaan Semula Filogeni

Kursus ini membincangkan kegunaan data molekul dalam sistematik tumbuhan dan haiwan. Kepelbagaian dan penjajaran data molekul turut diperjelaskan. Konsep filogenetik diperbincangkan melalui applikasi pelbagai kaedah pembinaan semula filogeni, iaitu Neighbour-Joining, Parsimoni Maksimum dan Likelihood Maksimum. Pelajar akan didedahkan kepada penggunaan perisian komputer seperti BIOEDIT dan PAUP dalam analisis filogenetik.

 

STAB6143 Botani Ekonomi Dan Etnobotani

Kursus ini memfokus dan membincangkan aspek-aspek botani tumbuhan yang berkepentingan ekonomi dan etnobotani kepada manusia termasuk peranan tumbuhan di dalam kedudayaan dan tamadun manusia. Ia juga akan mencakupi beberapa kumpulan komoditi tumbuhan utama seperti tanaman makanan (padi, sumber karbohidrat lain), tumbuhan ubat-ubatan dan juga tumbuhan landskap desa dan bandar. Sejarah penggunaan tumbuhan di kalangan penduduk Asia Tenggara akan digariskan dalam aspek biologi, alam sekitar, sosio-ekonomi, kebudayaan dan peranan tumbuhan di dalam pengunaan modern seperti tanaman ladang dan bioteknologi pertanian.

  • Ijazah sarjana muda dalam bidang berkaitan dengan PNGK minimum 2.50, atau yang setara dengannya, dari institusi pengajian tinggi yang diiktiraf oleh Senat Universiti; atau
  • Ijazah sarjana muda dalam bidang berkaitan dengan PNGK minimum 2.00 hingga 2.49 atau yang setara dengannya, boleh diterima masuk tertakluk kepada minimum 5 tahun pengalaman bekerja atau penyelidikan dalam bidang yang berkaitan. Pembuktian pengalaman kerja calon luar negara perlu disahkan oleh Kedutaan negara masing-masing; atau
  • Memenuhi Kelayakan Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL A) bagi calon warganegara sahaja;
    • Berumur sekurang-kurangnya 30 tahun pada tarikh permohonan; dan
    • Memiliki kelayakan STPM atau Diploma dalam bidang berkaitan atau kelayakan lain yang setara yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia dan diluluskan Senat Universiti; dan
    • Memiliki Sijil Perakuan APEL MQA dengan Tahap 7 MQF.
  • Pelajar bukan warganegara perlu mendapat keputusan minimum TOEFL (iBT) skor 46 / IELTS band 5.5 / CEFR band B2 / MUET band 3 (Pelajar dari luar negara yang berasal dari negara yang Bahasa Inggeris adalah bahasa rasminya atau memiliki kelayakan akademik yang diperoleh dari mana-mana institusi pengajian tinggi yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dikecualikan daripada IELTS / TOEFL / CERF / MUET); dan
  • Memenuhi apa-apa syarat lain yang ditetapkan oleh Senat Universiti dari semasa ke semasa.

Penyelaras Program

Prof. Madya Dr. Haja Maideen Kader Maideen

Emel : deen@ukm.edu.my
Tel : 03-8921 3365

Yuran Pengajian

Wargenagara

RM6,450.00 / pengajian (minimum 2 semester)
  • RM 1,010.00 - Yuran Pendaftaran (semester pertama sahaja)
  • RM 420.00 - Yuran Perkhidmatan & Aktiviti (setiap semester)
  • RM 115.00 - Yuran Pengajian (per kredit)
  • RM 1,430.00 + (RM 115.00 x bil. kredit) - Jumlah keseluruhan yuran semester pertama
  • RM 420.00 + (RM 115.00 x bil. kredit) - Jumlah keseluruhan yuran semester berikutnya

Bukan Wargenagara

RM34,610.00 / pengajian (minimum 2 semester)
  • RM 1,410.00 - Yuran Pendaftaran (semester pertama sahaja)
  • RM 16,600.00 - Yuran Pengajian
  • RM 18,010.00 - Jumlah keseluruhan yuran semester pertama
  • RM 16,600.00 - Jumlah keseluruhan yuran semester berikutnya

Penasihat Program

Translate »