Siswazah FST

 FST Postgraduate

SARJANA SAINS (STATISTIK)

Statistik adalah satu bidang pengajian mengenai pengumpulan, penyusunan, pembentangan dan analisis data untuk menghuraikan hakikat nyata secara bersifat sains. Program Sarjana Sains (Statistik) menawarkan pelbagai kursus dalam bidang statistik,untuk calon yang ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang tersebut. Penekanan diberikan dalam aspek teori dan gunaan supaya calon dapat menguasai ilmu statistik dan mampu menggunakannya.

Kerja kursus & Sepenuh masa

Minimum 2 semester (1 tahun)

Maksimum 4 semester (2 tahun)

 

Kemasukan – 2 kali setiap tahun (Mac dan Okt)

 

*tertakluk kepada kalendar akademik UKM

Bahasa Inggeris

SemesterKursus WajibKursus Pilihan
I

STPD6024   Kaedah Penyelidikan

STQS6034   Pentaabiran Berstatistik

STQS6274   Penghitungan Berstatistik

STQS6584   Pemodelan Berstatistik

Pilih dua:

 

STQS6064   Statistik Perubatan

STQS6094   Teknik Pensampelan

STQS6244   Proses Stokastik

STQS6284   Analisis Multivariat

STQS6424   Kaedah Tak Berparameter

STQS6444   Pemodelan Siri Masa dan Peramalan

 

II

STQS6234   Pentaabiran Bayesian

STQS6254   Reka Bentuk dan Analisis Uji Kaji

STQM6988   Projek Penyelidikan

Jumlah Kredit

32

8

STPD6024 Kaedah Penyelidikan

Kursus ini memperkenalkan pelajar kepada bidang penyelidikan. Kursus ini memberikan para pelajar maklumat yang diperlukan untuk melengkapkan Master atau PhD mereka melalui penyelidikan di FST, UKM. Sepanjang 12 minggu kuliah, pelajar diajar falsafah, dan etika penyelidikan. Mereka dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan dalam menulis cadangan penyelidikan mereka, persembahan penyelidikan dan kompilasi penyelidikan dalam bentuk tesis atau disertasi. Kemahiran seperti reka bentuk eksperimen, endnote, mendeley, turnitin, penerbitan, persembahan lisan dan banyak lagi diajar dalam 44 jam kontak dengan pelajar. Pelajar kemudiannya dinilai berdasarkan cadangan penyelidikan, pembentangan cadangan penyelidikan dan dan peperiksaan akhir.

 

STQS6004  Kalkulus dan Aljabar Matriks Untuk Statistik

Kursus ini bertujuan untuk memperkenalkan kepada pelajar tentang keperluan kalkulus dan aljabar matriks dalam bidang statistik. Konsep had diberikan secara intuisi. Konsep terbitan, kadar perubahan dan masalah ekstremum. Dibincangkan kamiran sebagai antiterbitan dan beberapa teknik kamiran dibincangkan. Beberapa konsep asas tentang matriks diberikan: songsang, ubah duduk, penentu, pangkat, surih, bentuk kuadratik dan ortogon. Beberapa  konsep asas tentang vektor  dipertimbangkan: vektor, persandaran linear dan tidak bersandar linear, vektor eigen dan nilai eigen. Pengenalan dibuat untuk songsang teritlak dan pembahagian matriks. Beberapa contoh dalam model linear diberikan.

 

STQS6014  Matematik Statistik

Kursus ini bertujuan untuk mendedahkan kepada pelajar beberapa prinsip asas tentang pemikiran dan tata kaedah statistik. Konsep pemboleh ubah rawak dan pelbagai fungsi taburan. Taburan bagi fungsi pemboleh ubah rawak dan teknik untuk mengecam taburan berkenaan: teknik fungsi taburan, teknik penjelmaan dan teknik fungsi penjana momen. Taburan bivariat dan multivariat juga dibincangkan dari aspek fungsi taburan bercantum, fungsi ketumpatan bercantum, fungsi taburan margin (sut), fungsi taburan bersyarat, ketakbersandaran di antara pemboleh ubah rawak, jangkaan bersyarat dan pekali korelasi.  Teorem Chebyshev dan taburan normal bivariat. Statistik tertib dan taburan pensampelan. Beberapa taburan khusus yang berkait dengan taburan normal seperti taburan t, khi kuasa dua, dan F.  Hukum bilangan besar dan hukum had memusat. Kaedah penganggaran titik: kaedah kebolehjadian maksimum dan kaedah momen. Anggaran titik dan anggaran selang.

 

 STQS6024  Analisis Data dan Pemodelan

Kursus ini bertujuan mendedahkan pelajar kepada ujian berstatistik secara praktikal melalui penggunaan perisian statistik. Tajuk-tajuk yang akan dibincangkan adalah ujian hipotesis, pengukuran ralat, kuasa ujian, ujian perbandingan min iaitu ujian t, analisis varians (ANAVA), analisis kovarians (ANKOVA); ujian penyuaian kebagusan; ujian hubungan meliputi korelasi dan regresi ringkas serta regresi berganda, dan pengenalan analisis reja. Beberapa tajuk statistik tak berparameter yang berkaitan juga dibincangkan.

 

STQS6034  Pentaabiran Berstatistik

Kursus ini bertujuan untuk memperkukuhkan pemahaman pelajar tentang teori statistik. Sifat-sifat sesebuah sampel rawak diselidiki. Anggaran titik bagi parameter anu dan sifat-sifat penganggar dibincangkan. Antara sifat yang turut dibincangkan ialah kecekapan, kesaksamaan, mempunyai varians terkecil, kecukupan dan kelengkapan. Ketaksamaan Cramer-Rao dan Teorem Rao-Blackwell dibincang. Kaedah penganggaran yang dikaji terdiri dari kaedah kebolehjadian maksimum, kaedah momen dan kaedah kuasa dua terkecil. Penilaian asimptotik untuk penganggar juga dibincang. Selain penganggaran titik, penganggaran selang turut disajikan. Berbagai tajuk tentang pengujian hipotesis termasuklah rantau genting terbaik dan ujian nisbah kebolehjadian turut di bincang.

 

STQS6064  Statistik Perubatan

Beberapa konsep statistik yang penting dalam perubatan ditelitikan. Kaedah-kaedah analisis asas dikaji termasuk taksiran ujian diagnostik. Antara topik yang akan dibincangkan adalah risiko, risiko relatif, ods dan nisbah ods, prevalens dan insiden, atribut risiko, pembauran dan saling tindak, mencam dan mengambil kira pembauran. Kajian bercerapan seperti kajian kohort, kes-kawalan akan dikaji; kajian campur-tangan; penentuan saiz sampel kajian. Kaedah-kaedah pemodelan dalam perubatan, model linear klasik, model logistik dan model kemandirian juga akan dibincangkan.

 

STQS6094  Teknik Pensampelan

Kursus ini memperkenalkan reka bentuk pensampelan bersama teori yang berkaitan. Perbahasan dimulai dengan pelbagai statistik tinjauan pensampelan dan langkah awal persiapan tinjauan pensampelan. Pensampelan rawak ringkas dihuraikan dengan terperinci meliputi aspek teori dan praktik. Penganggaran dan sifatnya akan dikaji secara matematik dan komputasi. Pensampelan berstratum juga dibahas secara menyeluruh – teori, matematik, amalan dan komputasi. Simulasi digunakan untuk penjanaan sampel dan kajian kecekapan penganggar. Keperluan dan pelaksanaan pensampelan berkelompok akan dihuraikan secara menyeluruh. Pelbagai isu pelaksanaan kaedah pensampelan yang akan melibatkan kaedah satu dan dua tahap diselidiki dan kaedah simulasi dimanfaatkan. Kursus membincangkan beberapa topik berkaitan pensampelan populasi haiwan liar, pensampelan reruang.

 

STQS6234  Pentaabiran Bayesian

Kursus ini bertujuan untuk memperkenalkan pelajar tentang teori Bayesian. Pentaabiran Bayesian untuk taburan normal dibincangkan. Selain daripada itu, pentaabiran Bayesian untuk taburan selain normal juga dikaji – Binomial, Poisson, dll. Tajuk-tajuk lain termasuklah model Bayesian berhirarki, Bayes empirik, pengujian hipotesis, korelasi, regresi dan analisis varians.

 

STQS6244  Proses Stokastik

Kursus ini bertujuan untuk memperkenalkan pelajar kepada teori proses stokastik. Antara topik yang dibincangkan ialah rantai Markov diskrit dan selanjar. Ini meliputi subtopik berkenaan persamaan Chapman-Kolmogorov, Proses Kelahiran dan Kematian, kebarangkalian pengehad dan beberapa sifat proses Markov yang penting. Topik lain yang dibincangkan ialah proses Poisson dan proses pembaharuan yang meliputi subtopik proses Poisson sekata dan tidak sekata, proses Poisson kompoun, pengurai Proses poisson, persamaan Pembaharuan, fungsi nilai min, teori limit dan lain-lain. Pelajar juga didedahkan dengan topik teori kebolehpercayaan, pergerakan Brownian dan aplikasi kaedah rantai Markov Monte Carlo.

 

STQS6254  Reka Bentuk Uji Kaji dan Analisis

Tujuan kursus ini adalah untuk menerangkan peranan statistik dalam kaedah sains yang merupakan keperluan utama untuk menghasilkan uji kaji yang cekap. Kursus ini akan menyentuh prinsip-prinsip asas dalam uji kaji; perawakan , dan pereplikaan. RRL & ANAVA sehala; kontras linear; anggapan di sebalik ANAVA; analisis reja; sifat berdaya tambah & saling tindak; penjelmaan untuk memenuhi anggapan ANAVA; Reka bentuk blok; blok tak lengkap; sifat ortogan & seimbang; petua mengagihkan rawatan dalam blok; uji kaji faktoran 2n; pemblokan dan pembauran dalam uji kaji faktoran; uji kaji faktoran pecahan; sistem pembauran dan alias; resolusi reka bentuk. Topik-topik lain meliputi uji kaji plot pecahan; kaedah permukaan sambutan; dan analisis kovarians.

 

STQS6274  Penghitungan Berstatistik

Pelajar akan dipersiapkan dengan pelbagai isu penghitungan yang berguna dalam analisis data dan  pentaabiran berstatistik. Untuk tujuan ini pelajar diberikan kemahiran menggunakan perisian R. Memanfaatkan penguasaan komputasi R pelajar diberi kemahiran asas menulis program untuk pelbagai ikhtisar statistik, pembinaan taburan imperik dan pelbagai teknik penentuan kuantil data secara tak berparameter. Menyusul selepas itu pelajar akan diberikan kemahiran pelbagai teknik penjanaan data rawak. Pentaabiran statistik kaedah klasik dan Bayesian dihuraikan. Semua perbahasan akan diseiringkan dengan data untuk permasalahan praktikal. Kaedah pensampelan semula – butstrap, jacknife, statistik tertib diterokai bersama dengan ujian hipotesis menggunakan ujian permutasi dan Monte Carlo.

 

STQS6284  Analisis Multivariat

Kursus ini memperkenalkan ciri data multivariat dan membandingkannya dengan data univariat. Amalan analisis data univariat dipadankan secara langsung kepada data multivariat. Teori anggaran dan pentaabiran untuk taburan multivariat dibahas. Pelbagai kaedah multivariat seperti analisis varians multivariat, korelasi berkanonik, komponen utama, faktor, pembeza layan, dan pengelompokan dihurai. Kursus ini dilaksanakan dengan menggabungkan aspek teori, matematik, penghitungan dan analisis data secara sepadu.

 

STQS6424 Kaedah Tak Berparameter

Kursus ini bermula dengan memperkenalkan kepada pelajar anggapan-anggapan asas di sebalik kaedah tak berparameter. Tajuk-tajuk yang dibincangkan termasuk kaedah-kaedah bagi satu sampel, dua sampel yang bersandar dan dua sampel yang tidak bersandar; penghampiran normal kepada ujian-ujian tersebut; ujian-ujian bagi tiga sampel atau lebih; ujian-ujian bagi aliran dan pertalian; analisis data yang terpangkas; ujian Kaplan-Meier dan ujian Mann-Whitney itlak Gehan; dan kaedah butstrap tak berparameter. Topik-topik lain meliputi beberapa kaedah pelicinan dan pemadanan model.

 

STQS6444  Pemodelan Siri Masa dan Peramalan

Kursus ini bertujuan untuk menganggar model regresi mudah, menerangkan teknik memodel trend dan kemeruapan data siri masa, menerangkan tentang hubungan kointegrasi antara satu siri masa dengan satu atau beberapa siri masa lain, dan mengenengahkan isu-isu yang penting dalam menganalisis data siri masa. Bagi pemodelan trend dan kemeruapan, tumpuan diberikan kepada model ARCH dan GARCH. Hubungan kointegrasi pula membincangkan pendekatan pembetulan ralat dan pendekatan Johansen. Pada akhir semester, pelajar akan menyediakan satu laporan pendek yang menekankan kepada penggunaan teknik-teknik pengujian dan analisis model yang disentuh dalam kursus ini.

 

STQS6584  Pemodelan Berstatistik

Kursus bermula dengan memperkenalkan konsep pemodelan melalui pemodelan regres linear ringkas, berganda, dan regresi tak linear yang ralatnya diandaikan tertabur secara normal. Pemeriksaan diagnostik terhadap model suaian dan andaian model akan diterangkan. Seterusnya kursus diteruskan dengan model yang andaian kenormalan ralatnya tidak dipenuhi. Pelajar akan didedahkan dengan konsep pemodelan linear teritlak seperti model logistik, Poisson dan model loglinear. Konsep penganggaran kebolehjadian maksimum, ujian nisbah kebolehjadian dan konsep devians akan diperkenalkan.

 

STQS6988  Projek Penyelidikan

Projek penyelidikan merupakan satu kursus wajib yang melibatkan kajian kes/kajian kesusasteraan/penyelidikan. Pelajar dikehendaki menjalankan satu penyelidikan di bawah penyeliaan seorang penyelia. Pelajar juga dikehendaki memilih sesuatu tajuk penyelidikan yang sesuai dan dipersetujui oleh penyelia. Pelajar perlu menulis suatu laporan saintifik yang menyeluruh bagi penyelidikan yang telah dijalankan.

  • Ijazah sarjana muda dalam bidang berkaitan dengan PNGK minimum 2.50, atau yang setara dengannya, dari institusi pengajian tinggi yang diiktiraf oleh Senat Universiti; atau
  • Ijazah sarjana muda dalam bidang berkaitan dengan PNGK minimum 2.00 hingga 2.49 atau yang setara dengannya, boleh diterima masuk tertakluk kepada minimum 5 tahun pengalaman bekerja atau penyelidikan dalam bidang yang berkaitan. Pembuktian pengalaman kerja calon luar negara perlu disahkan oleh Kedutaan negara masing-masing; atau
  • Memenuhi Kelayakan Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL A) bagi calon warganegara sahaja;
    • Berumur sekurang-kurangnya 30 tahun pada tarikh permohonan; dan
    • Memiliki kelayakan STPM atau Diploma dalam bidang berkaitan atau kelayakan lain yang setara yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia dan diluluskan Senat Universiti; dan
    • Memiliki Sijil Perakuan APEL MQA dengan Tahap 7 MQF.
  • Pelajar bukan warganegara perlu mendapat keputusan minimum TOEFL (iBT) skor 46 / IELTS band 5.5 / CEFR band B2 / MUET band 3 (Pelajar dari luar negara yang berasal dari negara yang Bahasa Inggeris adalah bahasa rasminya atau memiliki kelayakan akademik yang diperoleh dari mana-mana institusi pengajian tinggi yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dikecualikan daripada IELTS / TOEFL / CERF / MUET); dan
  • Memenuhi apa-apa syarat lain yang ditetapkan oleh Senat Universiti dari semasa ke semasa.

Penyelaras Program

Dr. Zamira Hasanah Zamzuri

Emel : zamira@ukm.edu.my
Tel : 03-8921 5756

Yuran Pengajian

Wargenagara

RM5,970.00 / pengajian (minimum 2 semester)
  • RM 1,010.00 - Yuran Pendaftaran (semester pertama sahaja)
  • RM 420.00 - Yuran Perkhidmatan & Aktiviti (setiap semester)
  • RM 103.00 - Yuran Pengajian (per kredit)
  • RM 1,430.00 + (RM 103.00 x bil. kredit) - Jumlah keseluruhan yuran semester pertama
  • RM 420.00 + (RM 103.00 x bil. kredit) - Jumlah keseluruhan yuran semester berikutnya

Bukan Wargenagara

RM34,610.00 / pengajian (minimum 2 semester)
  • RM 1,410.00 - Yuran Pendaftaran (semester pertama sahaja)
  • RM 16,600.00 - Yuran Pengajian
  • RM 18,010.00 - Jumlah keseluruhan yuran semester pertama
  • RM 16,600.00 - Jumlah keseluruhan yuran semester kedua

Penasihat Program

Translate »