Sila hubungi: +603 89214641

PROJEK 1: PEMBENTUKAN TEORI DAN KONSEP KESEPADUAN SOSIAL MELALUI PENDIDIKAN

Pembentukan  Teori Dan Konsep Kesepaduan Sosial Melalui Pendidikan

 

Ringkasan Cadangan Eksekutif Penyelidikan

Fokus projek adalah sistem pendidikan Malaysia, dan persoalan utama, adakah pendidikan Malaysia memberi ruang dan perhatian kepada kepelbagaian kependudukan Malaysia, khususnya dalam konteks wilayah (Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak), pengkategorian etnik (Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Orang Asli dsb.), penganutan agama (Muslim, Kristian, Buddhist, Hindu dsb.), latarbelakang sejarah (sejarah migrasi, pribumi)? Projek ini berhujah bahawa sistem pendidikan Malaysia berasaskan ideologi modenisasi, dan dipandu oleh dua konsep asas iaitu pembinaan bangsa (nation building) dan penyamaan (homogenisation). Dalam masyarakat plural seperti Malaysia, idea mengenai pembinaan bangsa melalui prinsip penyamaan mungkin menyekat pencapaian matlamat akhir yang diingini, iaitu sebuah negara-bangsa yang mempunyai warganegara yang mendokong wawasan, impian dan gerak kerja yang sama sebagai ‘Malaysian’. Realiti sosial kependudukan Malaysia adalah kepelbagaian, justeru  saling perhubungan dan kesanggupan hidup bersama secara saksama dan aman dengan orang lain amat penting. Keadaan hidup harmoni atas asas saling kepercayaan, rasa keterpunyaan dan penyertaan saksama membolehkan masyarakat hidup bersepadu dan aman. Sistem pendidikan yang mengangkat ketergolongan (inclusion) dan penyertaan semua warganegara akan menyediakan bahan-bahan asas ke arah pemupukan kesepaduan sosial, yang mencerminkan saling persefahaman, penghormatan dan perhubungan yang tinggi dalam kalangan pelajar yang datang daripada pelbagai latarbelakang. Kepelbagaian penduduk Malaysia menuntut agar sistem pendidikan menyediakan peluang kepada pelajar mempelajari dan mengetahui komuniti-komuniti yang ada di Malaysia.

Namun, pendidikan sebegini bukan sekadar memberi maklumat atau menambah pengetahuan pelajar tentang komuniti-komuniti di Malaysia. Pendidikan juga perlu melibatkan pemupukan kefahaman dan kebersediaan menghormati, menerima dan hidup bersama komuniti-komuniti berkenaan. Pendek kata, pendidikan di Malaysia perlu melibatkan dimensi ‘pembudayaan pemupukan nilai-nilai murni’ (culturalisation of noble values) terhadap kepelbagaian kependudukan yang ada di Malaysia khususnya. Hasil daripada sistem pendidikan ‘inklusif’ begini adalah pelajar yang berpengetahuan-budaya (culturally-informed students), iaitu pelajar yang dapat mengenali, memahami, berhubung dan hidup bersama berasaskan nilai kebolehterimaan (acceptance), kebolehpercayaan (mutual trust), kebersepunyaan (common belonging). Justeru, projek ini mengusul bahawa di samping komponen 3R dalam pendidikan (membaca, menulis, mengira), satu komponen lagi yang sepadan dan sepenting, iaitu 1R (hubungan)  perlu juga dimuatkan dalam pendidikan. Intipatinya, projek ini melangkah ke depan dengan mengusul pembentukan satu matriks, iaitu yang merangkumi 3R (baca, tulis, kira), 1R (hubungan) dan 3r (mengenal, menghormati dan menyesuaikan).Usulan ini mengambil kira sifat kependudukan dan realiti sosial masyarakat Malaysia dan wawasan membina sebuah bangsa Malaysia yang bersatu padu dalam mana semua rakyatnya mendokong dan menghayati impian dan katahati yang sepunya, meskipun berlainan (Wawasan 2020, Cabaran 1). Dalam konteks ini, sastera dan pendidikan sastera juga merupakan satu komponen penting dalam projek ini, di mana sastera dan pendidikan sastera dilihat sebagai satu wahana penting untuk mengkaji realiti masyarakat Malaysia dan pembinaan bangsa Malaysia. Sastera dan pendidikan sastera juga dianggap satu sumber penting untuk memupuk pemahaman dan membina hubungan antara rakyat Malaysia yang berlainan etnik, agama, status dan kelas sosial, tempat tinggal, sejarah dan pengalaman bermastautin.

Sebagai manusia sosial, terutamanya dalam negara Malaysia yang mempunyai pelbagai kumpulan etnik, pelajar-pelajar sekolah perlu belajar untuk bergaul dan berhubung dengan orang yang berbeza dengan mereka dari segi budaya, bahasa, agama dsb. Bagaimana mereka belajar untuk menyesuaikan diri dengan kepelbagaian dan kelainan ini? Pendidikan sepatutnya membuka minda pelajar kepada pelbagai kemungkinan, dan bukan sekadar melatih minda pelajar kepada hanya melakukan satu perkara sahaja (Gunn 2010). Sekiranya sebagai manusia sosial, pelajar-pelajar ini tidak dapat menerima kepelbagaian dan kelainan, bagaimanakah mereka bergaul dan berhubung dengan orang lain secara saksama dan atas pemahaman sepunya? Apakah kerelevanan dan keberkesanan sistem pendidikan sekiranya pendidikan yang diberikan tidak dapat menyediakan asas-asas kukuh untuk melatih pelajar mengenai empat tiang pendidikan – belajar mengetahui, belajar membuat, belajar menjadi dan belajar untuk hidup bersama? Untuk menjelaskan kepentingan sistem pendidikan mencerminkan sifat kependudukan sesebuah negara, kita lihat contoh berikut: Sebuah syarikat ubat gigi ingin memasarkan produk ubat gigi yang digelar ‘pemutih gigi’. Namun, pasaran yang disasarkan adalah komuniti yang meletak nilai tinggi kepada ‘gigi hitam’ dan bukan ‘gigi putih’. Akibatnya, ubat gigi yang berdaya memutihkan gigi tidak laris dijual dalam kalangan komuniti tersebut, menyebabkan syarikat ubat gigi tersebut mengalami kerugian besar. Gejala ini berlaku semata-mata kerana kejahilan atau ‘buta-budaya’kakitangan syarikatnya.

Keadaan sekolah dan sistem persekolahan juga seperti suatu ‘usaha perniagaan.’ Siapakah pasaran, iaitu siapakah pelajar yang datang ke sekolah? Apakah agama, etnik, budaya, latarbelakang sosio-ekonomi mereka? Sebagai manusia, lebih-lebih lagi sebagai pendidik yang bertanggungjawab menurunkan nilai, ilmu dan kemahiran kepada pelajar, pembuat dasar dan pembuat keputusan di Kementerian Pelajaran, Pengetua sekolah dan guru mempunyai daya pemikiran untuk menjangka kesan-kesan jangka panjang tindakan mereka. Dalam konteks kesepaduan, keamanan antar-etnik dan persefahaman antar-budaya, kegagalan untuk mengambil kira kepelbagaian kependudukan negara, dan penyisihan sebahagian kependudukan daripada sejarah negara, kurikulum dan buku teks sekolah, akan menyebabkan gambaran realiti negara yang berat sebelah, justeru kejahilan dan ketidakpuasan. Sekolah sebagai institusi pendidikan boleh menjadi tempat memupuk hormat dan rasa tanggungjawab untuk kesejahteraan orang lain. Sekiranya kita tidak mahu orang lain mencederakan kita, begitu juga kita tidak boleh mencederakan orang lain. Adakah sekolah dan sistem pendidikan Malaysia memberi ruang kepada pesertanya – pelajar, guru, Pengetua – untuk belajar dan memahami satu sama lain? Untuk mereka berasa mereka sebahagian daripada satu ‘komuniti?’

Keupayaan pendidikan untuk memenuhi peranan-peranan tersebut bergantung kepada sama ada guru-guru ada mencipta dan menyampaikan kandungan pendidikan dalam cara yang menepati keperluan semasa dan masa depan (OECD 2001: 3)? Adakah guru sekolah peka terhadap peranan utama mereka dalam sistem pendidikan? Adakah peranan sistem pendidikan untuk melahirkan tenaga buruh mahir yang hanya tahu 3R? Atau pendidikan adalah untuk melahirkan manusia bijaksana dan baik hati, yang telah menguasai empat tiang pembelajaran iaitu belajar mengetahui, belajar membuat, belajar menjadi dan belajar hidup bersama orang lain? Intipatinya, adakah sistem pendidikan untuk melahirkan manusia yang mahir dalam 3R (baca, tulis, kira), mahir dalam 1R (hubungan) atau 3R (Read, wRite, aRithmetic) + 1R (Relationship), dan 3r (recognise, respect, reconcile [kenal, hormat, menyesuaikan]).

Projek ini bertujuan untuk membentuk konsep 1R yang mendasari kesepaduan sosial. Kesepaduan sosial merangkumi dua dimensi. Dimensi pertama dilihat dari segi kesepaduan menegak, iaitu hubungan antara pihak berkuasa dan orang awam. Dimensi kedua dilihat dari segi kesepaduan mendatar, iaitu hubungan antara dalam kalangan anggota masyarakat. Hubungan menegak dan mendatar dicirikan dengan satu set sikap dan norma seperti kepercayaan, rasa kesepunyaan dan kesanggupan menyertai dan membantu, serta ungkapan perlakuan (Chan & Chan 2006, 290). Projek ini juga memberi penelitian kepada kurikulum pendidikan negara dari segi dimensi ketergolongan (inclusiveness) atau kesepaduan (cohesiveness) dalam mengambil kira kepelbagaian kependudukan Malaysia. Dalam konteks ini, peranan pendidikan sastera dan karya-karya sastera juga diberi tumpuan khas dalam projek ini, khususnya dari segi peranan sastera dan pendidikan sastera dalam mencerminkan ciri-ciri bangsa Malaysia (Malaysian nation).

Objektif Penyelidikan

  1. untuk mengkaji sama ada kurikulum pendidikan negara mengambil kira kepelbagaian kependudukan Malaysia
  2. untuk mengkaji kefahaman pelajar Malaysia mengenai komuniti-komuniti yang ada di Malaysia
  3. untuk mengkaji bagaimana realiti masyarakat Malaysia dan bangsa Malaysia dipersembahkan melalui karya-karya sastera (yang ditulis dalam Bahasa Melayu, Mandarin, Tamil dan Inggeris)
  4. untuk mengkaji sama ada karya-karya sastera yang ditulis dalam Bahasa Melayu, Mandarin, Tamil dan Inggeris mendokong hasrat pembinaan negara-bangsa melalui pemahaman dan hubungan antar-etnik atau sebaliknya
  5. untuk membina satu modul pembelajaran interaktif 1R + 3r yang akan mempunyai komponen 1R (celik budaya) dan komponen 3r (recognise, respect, reconcile / kenal, hormat dan menyesuaikan)

 

 

 

 

 

Kembali

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Incoming search terms:

  • konsep kesepaduan sosial
  • peranan ikon sukan dalam memupuk kesepaduan sosial di malaysia
  • peranan ikon sukan dalam memupuk kesepaduan sosial
  • peranan ikon sukan dalam kesepaduan sosial
  • yhs-fullyhosted_003
  • konsep kesepaduan
  • ciri-ciri kesepaduan sosial
  • maksud kesepaduan
Leave a Reply