Sila hubungi: +603 89214641

KITA, E-MAM perkukuh ‘wasatiyyah’

 

Berita Harian Online 25 Januari 2012

 

Malaysia bentuk kesederhanaan global, kesepaduan sosial

INSTITUT Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama E-mam Kapitan Sdn Bhd (E-MAM) berusaha menyebarluaskan konsep kesederhanaan atau ‘wasatiyyah’ sejajar penubuhan Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM).

Inisiatif itu sejajar usaha kerajaan melaksanakan konsep berkenaan seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini.

Pengarah KITA, Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, berkata konsep wasatiyyah yang diamalkan di negara ini adalah hadiah Malaysia kepada dunia dalam konteks pengamalan kesederhanaan global.
Katanya, E-MAM memiliki syarikat bersekutu antarabangsa iaitu Digital Daya berpangkalan di Washington, Amerika Syarikat, Dubai (Emiriah Arab Bersatu) dan Kuala Lumpur, membantu KITA mempromosi konsep berkenaan.

“Kami yakin kerjasama dengan E-MAM, iaitu sebuah syarikat yang prihatin dengan pembangunan masyarakat dan pembinaan negara bangsa mampu mencapai kejayaan menyebarluaskan konsep wasatiyyah,” katanya dalam kenyataan yang diterbitkan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pelaksanaan konsep itu diterjemahkan KITA dengan menandatangani surat niat (LOI) bersama E-MAM.
Secara dasarnya, Shamsul Amri berkata, E-MAM berminat kepada korpus ilmu mengenai Kesepaduan Sosial (KS) yang diasaskan beliau bersama felo KITA.

Usaha itu kata beliau, bertujuan memartabatkan negara sebagai model berjaya membendung konflik melampau daripada menular dan merebak sehingga menjadi penghalang kepada pembangunan.

“Dapatan penyelidikan Institut Ekonomi dan Keamanan berpangkalan di Sydney Australia mendapati, Malaysia berada pada kedudukan ke-19 teratas dunia daripada 153 negara begitu membanggakan.

“Kerangka konsep yang menjadikan Malaysia sebagai negara memiliki KS terbaik menjadi prasyarat penting ke arah mewujudkan negara moderat,” katanya.

Shamsul Amri berkata, hasil kajian KITA itu berjaya menarik minat E-MAM menggunakan ilmu itu sebagai input penting dalam pembinaan ‘Taman Intelektual” yang mereka usahakan bersama Muzium Negeri Pahang di Pekan.

Beliau berkata, antara pengisiannya adalah kewujudan pusat global mengenai KS yang dicadangkan namanya sebagai ‘Global Social Cohesion Center Malaysia’ (GSCCMP).

“Melalui pusat itu, kerja mendalami dan membentuk model kesepaduan sosial yang boleh dieksport dilaksanakan menerusi jaringan meluas E-MAM di negara Asia Barat.

“Institut terbabit akan mengetengahkan konsep itu sebagai sebahagian usaha penyelesaian masalah umat Islam yang sedang melanda negara di tanah Arab,” katanya.

Idea GMM bertujuan meningkatkan kesederhanaan peringkat global, dicetuskan Perdana Menteri ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-65, di New York pada 2010.

Ucapan itu menyarankan pemimpin dunia supaya menolak sebarang bentuk ekstremis, sebaliknya menjadikan kesederhanaan dalam setiap tindakan yang kemudian mendapat reaksi positif daripada pemimpin dunia.

Cadangan itu kemudian diperincikan ketika ucapan di Oxford Center for Islamic Studies (OCIS), England pada Mei tahun lalu dan bulan lalu.

Idea memupuk kepentingan nilai kesederhanaan beliau itu diterima dan disenaraikan dalam Pernyataan Bersama Mesyuarat Ketua Kerajaan Komenwel (CHOGM), di Perth, Australia.

 

 

 

 

Kembali

 

 

 

Leave a Reply