Portal Penyelidikan Cuaca Angkasa UKM

Sistem Pengesan Suar Matahari

Di UKM, sebuah sistem pengesan suar matahari telah dibina untuk tujuan penyelidikan dan juga pembelajaran cuaca angkasa untuk peringkat sekolah menengah terutamanya. Sistem ini dengan kata lain adalah pengesan SID. Ini kerana SID berlaku disebabkan oleh sinar-X dan sinar-UV dari suar matahari.

Sistem asal yang diberi nama SuperSID telah dibangunkan oleh Stanford University Solar Center. UKM membina semula sistem ini termasuk litar pra-penguat yang digunakan dan menamakannya sebagai UKM-SID. Sistem ini juga boleh dikenali dengan nama sistem pemantau SID atau stesen pemantau SID.

Bahagian-bahagian utama bagi sistem UKM-SID ini adalah terdiri daripada antena, pra-penguat dan komputer dengan kad bunyi. Antena gelung digunakan untuk menerima isyarat VLF yang dipantulkan dari ionosfera. Isyarat-isyarat ini biasanya adalah sangat kecil lebih kurang 0.1 milivolt, maka pra-penguat diperlukan untuk menguatkan isyarat kira-kira seribu kali, ke tahap di mana ia boleh dikesan oleh kad bunyi komputer peribadi. Kad bunyi bertujuan untuk menukarkan isyarat dari bentuk analog ke bentuk digital (Analog to Digital Converter, ADC) dan bertindak sebagai penguat isyarat. Kemudian, dengan menggunakan satu program yang dipasang pada komputer, pemprosesan data dan pengesanan kekuatan isyarat VLF dapat dijalankan sepanjang hari. Suar matahari dapat dikesan dengan memplot graf kekuatan isyarat melawan masa. Rajah 1 menunjukkan sistem UKM-SID yang dibina di UKM.

UKM-SIDRajah 1: Sistem UKM-SID di UKM

Sistem UKM-SID, secara ringkasnya adalah sebuah stesen penerima isyarat gelombang radio (VLF). Manakala stesen-stesen pemancar isyarat VLF pula terdapat pada beberapa tempat di serata dunia. Stesen-stesen pemancar ini sebenarnya adalah stesen komunikasi yang biasanya digunakan untuk komunikasi kapal selam. Isyarat radio VLF dari stesen pemancar biasanya akan merambat ke serata dunia dengan memantul pada lapisan ionosfera sebelum sampai ke lokasi stesen penerima. Rajah 2 menggambarkan situasi tersebut.

ionospheric communication nasaRajah 2 : Komunikasi radio melalui lapisan ionosfera (sumber : NASA)

Kekuatan isyarat radio VLF yang diterima bergantung pada ketumpatan elektron pada lapisan ionosfera di mana ia amat dipengaruhi oleh aktiviti Matahari terutamanya suar matahari. Pada waktu peristiwa suar matahari berlaku, kekuatan isyarat yang diterima akan melonjak serta merta dan menghasilkan graf puncak. Ini kerana pada waktu ini, ketumpatan elektron bebas pada lapisan D ionosfera meningkat dengan ketara dan lapisan D ionosfera mampu memantulkan isyarat radio VLF, menjadikan jarak perambatan isyarat radio VLF dari stesen pemancar dan penerima berkurangan secara serta merta. Isyarat radio VLF ini juga dapat terelak daripada kehilangan kuasa akibat cuba menembusi lapisan D pada waktu tiada suar matahari berlaku.

Graf SID

Graf SIDRajah 3 : Graf SID, perbandingan dengan graf data satelit GOES

Graf SID pada rajah 3 dihasilkan dengan menggunakan perisian Microsoft Excel untuk mendapatkan plot yang lebih terperinci. Graf SID (bawah) dibandingkan dengan graf data GOES (atas). Kehadiran suar matahari dapat dilihat pada puncak graf. Seperti sistem SID yang lain, UKM-SID hanya dapat mengesan suar matahari pada waktu siang sahaja (waktu siang boleh dilihat pada graf sekata di sebelah kiri). Ini kerana hanya pada waktu siang lapisan ionosfera bumi diionkan oleh sinar matahari. Jika dilihat pada graf, satelit GOES adalah lebih peka dalam mengesan suar matahari, manakala sistem UKM-SID hanya dapat mengesan suar matahari sekiranya suar yang berlaku cukup kuat, biasanya pada kelas C dan ke atas.