Persatuan Wanita Universiti Kebangsaan Malaysia

 SUKMANITA

Mengimbau Sejarah SUKMANITA

Kesedaran dan semangat! Itulah dua perkataan yang mengiringi kelahiran sebuah pertubuhan wanita yang kini menjadi rimbun atas sokongan kuat ahlinya. Kesedaran tentang betapa pentingnya kesatuan di kalangan wanita di sebuah Universiti yang masih muda, telah mendorong beberapa orang wanita utama dan penting di UKM merancang penubuhan sebuah persatuan yang akan dapat mereka manfaatkan. Dengan kesedaran ini, mereka berkumpul untuk mengatur strategi penubuhan persatuan wanita di kampus yang disegani hingga kini. Semangat yang berkobar-kobar menjadi pemangkin gerakan mereka.

Bermula 1981, langkah mula diatur kemas dan gagah. Dengan bernakhodakan isteri Naib Canselor, kelasinya terdiri daripada kakitangan wanita dan isteri kakitangan UKM, mereka bersama mengorak langkah untuk menubuhkan persatuan, tanpa menghiraukan cabaran mendatang. Perjumpaan pertama dirancang. Rumah Datin Salmah (sekarang Puan Sri) menjadi lokasi mengatur strategi. Beliau sendiri telah mengetuai pertemuan pertama itu. Upacara dimulakan oleh Puan Hajah Nuraiman Mohd. Yunus dan seterusnya telah diminta oleh Datin Salmah supaya mempengerusikan perjumpaan sulung itu.

Pengorbanan

Pengerusi telah memberikan ucapan ringkas menyentuh tentang tujuan penubuhan persatuan itu sambil mengucapkan terima kasih atas kehadiran ahli dan pengorbanan masa dan tenaga demi semangat untuk menubuhkan Persatuan. Perasaan dan keceriaan terbayang pada raut wajah setiap ahli yang hadir. Acara dimulai dengan pengenalan diri mereka yang hadir seramai sembilan belas orang. Antara mereka ialah Datin Salmah, Puan Hajah Nuraimah Mohd. Yunus, Puan Wan Na’aimah Jaafar (sekarang To’ Puan), Puan Maimunah Jaafar (sekarang To’ Puan), Puan Sri Partinah Suwandi, Puan Mariah Mad Wali, Datin Sharifah Mariam, Puan Hajah Rashadah, Puan Nik Nga, Puan Maryam, Puan Soes Poedijono, Puan Azian, Puan Sabidah, Puan Fauziah, Puan Evio Adnani dan Puan Jamilah Sudin (sekarang Datin Panglima).

Dalam pertemuan itu mereka telah membincangkan beberapa perkara penting berkaitan dengan persatuan. Antaranya termasuklah membincangkan nama badan wanita UKM, melantik Ahli Jawatankuasa Penaja, menentukan perjumpaan selanjutnya dan perkara lain yang bersangkutan bagi mengukuh dan melicinkan perjalanan persatuan.

Nama Awal

Agenda pertama yang menjadi topic utama perbincangan dan perkara yang amat penting ialah mencari nama yang sesuai bagi persatuan. Puan Hajah Rashdah telah mendedahkan kepada para hadirin bahawa Badan Wanita UKM pernah ditubuhkan pada awal penubuhan UKM. Beliau mengatakan bahawa badan wanita itu telah mempunyai nama dan didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan atas nama “Persatuan Wanita Universiti Kebangsaan Malaysia”. Berdasarkan maklumat tersebut dnegan suara terbanyak, perjumpaan itu bersetuju nama Persatuan Wanita Universiti Kebangsaan Malaysia yang berdaftar itu diabadikan selagi sah digunakan.

Para Perintis

Langkah seterusnya ialah pelantikan Jawatankuasa Penaja atau Sementara. Hadirin telah sebulat suara menamakan dua nama untuk menerajui persatuan sebagai Pengerusi Sementara iaitu Datin Salmah dan Puan Wan Na’aimah Jaafar. Selain itu, dua orang dilantik sebagai Setiausaha Sementara, iaitu Puan Hajah Nuraimah Mohd. Yunus dan Puan Jamilah Sudin. Puan Maimunah Jaafar telah dilantik sebagai Bendahari Sementara. Dua juruaudit Sementara ialah Puan Sri Partinah Suwandi dan Puan Mariah. Datin Sharifah Mariam dan Puan Hajah Rashadah dilantik sebagai Penasihat Sementara diikuti sepuluh orang ahli Jawatankuasa Sementara terdiri dari Puan Nik Nga yang memegang Biro Ekonomi, Puan Maryam menerajui Biro Penerangan, Puan Wan Na’aimah mewakili Fakulti Pengajian Islam, Puan Soes Poedijono mewakili Fakulti Sains, Puan Azian mewakili Fakulti Perubatan, Puan Sabidah mewakili Fakulti Sains Kemasyarakatan & Kemanusiaan, Puan Fauziah mewakili Pusat Pengajian Melayu dan Jabatan Psikologi, Puan Hajah Nuraimah mewakili Jabatan Pendidikan, Puan Evio Adnani mewakili Unit Bahasa, Puan Mariah dan Puan Maimunah mewakili Fakulti Perdagangan dan Ekonomi.

Translate »