Penyelidik UKM bantu industri sawit sisa sifar

Penyelidik UKM bantu industri sawit sisa sifar
by Nadiah Zamlus
Oktober 22, 2019 12:02 pm

SHAH ALAM, 22 OKT: Pasukan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membangunkan loji rintis industri sawit berkonsep sisa sifar bagi memastikan tidak berlakunya pencemaran air, tanah dan udara.

Ketua kumpulan penyelidik, Prof Ir Dr Mohd Sobri Takiff berkata, pihaknya yakin sisa kelapa sawit mempunyai potensi besar untuk menjadi sumber tenaga baharu khususnya dalam sektor pertanian.

Katanya, impak inovasi itu dipercayai dapat meningkatkan hasil produktiviti minyak sawit negara serta menjamin kemampanan masa depan industri berkenaan.

“Saya harap penyelidikan ini akan menjadi panduan kepada kilang-kilang kelapa sawit sedia ada supaya mereka membuat perubahan ke arah teknologi hijau yang neutral dan bebas sisa.

“Pada masa sama, kami turut berbangga kerana dapat berkongsi hasil penyelidikan ini yang dilihat merupakan antara model terbaik dalam tadbir urus sisa pemprosesan minyak kelapa sawit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika lawatan ke Kompleks Loji Yayasan Sime Darby (YSD), Bestari Jaya.

Penyelidikan yang mendapat kerjasama YSD itu turut dibantu Prof Dr Jamaliah Md Jahim, Prof Madya Dr Mohd Shahbudin Mastar, Prof. Madya Dr Sahilah Abdul Mutalib dan Ir Dr Shuhaida Harun.

Sementara itu Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dato’ Ir Dr Abdul Wahab Mohammad berkata, penyelidikan yang dijalankan itu turut memfokuskan kepada penghasilan tenaga boleh diperbaharui dan pemerangkapan gas karbon dioksida.

Katanya, ia juga mampu menghasilkan baja organik dan kitar semula penggunaan air dari air kumbahan dan sisa pepejal yang terhasil dalam pemprosesan minyak sawit.

“Kejayaan penyelidik UKM ini wajar diberikan penghormatan kerana bukan semua pihak mampu memikirkan penyelesaian yang paling bernas dalam menyelesaikan masalah sisa buangan industri sawit hingga menjejaskan alam sekitar,” katanya.