Disclaimer Third Language Translation

Please note that the page which will be displayed later after translations have been made is an automatic computer translation. The odds that the content will differ from the original cannot be avoided. We are not responsible on any damage or wrong information which might occur from the contents which has been translated. Official content is only at the original page which is in English or Malay.

Sambutan Jubli Emas UKM

SELOKA Menelusuri Lima Dasawarsa

Encik Abd Razak Hussin
Pengarah Eksekutif Pentadbiran
Universiti Kebangsaan Malaysia

Rupanya kita sudah berada digaris ini
Bertahun-tahun merentas onak dan duri
Perjuangan bangsa yang bergenerasi
Cita-cita besar dirikan sebuah universiti

Cetusan idea seorang cendekiawan
Akhbar Lembaga Melayu merakam tulisan
Pemikiran besar yang beliau zahirkan
Walaupun ramai belum ada pengertian

Maka perjuangan mula digerakkan
Para guru yang paling ke hadapan
Golongan bangsawan, sasterawan dan bawahan
Berganding bahu sederap penyatuan

Jiwa merdeka terus dihembuskan
Tanah air berdiri harus berlandasan
Pemikiran beku mesti dicairkan
Hanya boleh dijelma dengan pendidikan

Za’ba, Abdul Kadir Adabi antara yang awal
Gerak kerja kesedaran maka digubal
Seluruh lapisan rakyat bergerak tanpa janggal
Gelombang besar tak mungkin dikawal

1970 menjadi realiti
UKM dilahirkan dan disyukuri
Kemenangan bermaruah dan berperibadi
Bangsa berdaulat berdiri sendiri

Tun Razak pendukung utama
Tun Syed Nasir menjadi tonggaknya
Tun Mahathir turut bersama
Golongan muda lantang bersuara

Maruah bangsa, bahasa jiwa bangsa
Laungan bergema menjadi mentera
Menambat rasa bersemangat waja
Sejarah negara yang amat bermakna

1970an era penubuhan
Generasi awal hadapi cabaran
Negara jiran tunjukkan kesetiakawanan
Menghantar pelbagai bidang akademiawan

Turut dihadapi ejekan dan nista
Persepsi merendah universiti yang muda
Seluruh warga berjiwa perkasa
Segala halangan diredah jua

1980an era pembangunan
Infra dan akademik kian diperkukuhkan
Semakin hari tinggi penghormatan
Keupayaan dan kebolehan terpapar pembuktian

1990an era pengukuhan
Ramai tokoh kita lahirkan
Diangkat pemimpin yang jadi sanjungan
Institusi lain mengharap pertolongan

Abad ke-21 era pengantarabangsaan
UKM memperoleh ramai kenalan
Lebih dikenali ke seberang lautan
Kerana mencipta pelbagai kejayaan

Kini UKM di era Revolusi 4.0
Segala perubahan kita menyongsong
Tidaklah ketinggalan di belakang lorong
Bahkan kita menjuarai menggenapi yang lompong

Menjelang penghujung dasawarsa ke-5
UKM berlari ke pentas dunia
Kualiti menjadi teras bitara
KAMII nilai teras disegar semula

Para pemimpin dan pengurusan utama
Bersinergi dengan seluruh warga
Semangat 1 UKM mari hayati bersama
Tulus dan ikhlas suburkan di jiwa

Ayuh semua kita terus melangkah
Dengan visi dan misi yang dimegah
Tanggungjawab digalas dengan amanah
UKM pasti lebih perkasa dan gagah

Dirgahayu UKM!

17 Mei 2019/ 12 Ramadhan 1440H