Disclaimer Third Language Translation

Please note that the page which will be displayed later after translations have been made is an automatic computer translation. The odds that the content will differ from the original cannot be avoided. We are not responsible on any damage or wrong information which might occur from the contents which has been translated. Official content is only at the original page which is in English or Malay.

Sambutan Jubli Emas UKM

YBhg. Tan Sri Abdul Wahid Omar
Pengerusi UKM

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. 

Yang Berbahagia
Prof. Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor
Naib Canselor UKM

Timbalan-timbalan Naib Canselor

Pegawai-pegawai Pengurusan Utama

Pegawai-pegawai Kanan UKM

Warga UKM

Para Mahasiswa

Serta hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian.

Bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya dapat kita  berkumpul bersama-sama di majlis yang bersejarah ini. Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih dan mengalu-alukan kehadiran Dekan-dekan, Pengarah, Ketua-ketua Jabatan, tenaga akademik, pegawai-pegawai pengurusan, kakitangan sokongan dan para mahasiswa ke majlis ini.

UKM merasa amat bertuah dan bersyukur kerana telah berjaya mengharungi pelbagai halangan dan rintangan selama 49 tahun penubuhannya. Kejayaan UKM pada hari ini adalah kejayaan semua pihak. Justeru, universiti menyanjung tinggi dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua warga UKM yang telah sama-sama berganding bahu demi meningkatkan kecemerlangan UKM. Pada tahun hadapan, 18 Mei 2020 sekali lagi UKM akan mencipta sejarah apabila menyambut ulangtahun penubuhan yang ke-50 iaitu Sambutan Jubli Emas.

Penubuhan UKM pada 18 Mei 1970 adalah kesinambungan dari gagasan dan pengorbanan pejuang-pejuang bangsa yang ingin melihat anak bangsa maju dan terkehadapan dalam pelbagai bidang ilmu. Dengan bertunjangkan untuk mendaulatkan bahasa Melayu, tanpa megenepikan bahasa-bahasa antarabangsa yang lain, UKM terus mengorak langkah untuk menjadi universiti terkemuka di peringkat nasional dan antarabangsa.

UKM juga sentiasa mewujudkan suasana ilmu yang sesuai kepada perubahan dan perkembangan sezaman dengan warga ilmuannya yang bertekad tinggi dan terus berusaha meneroka pelbagai bidang ilmu. Universiti juga menghadapi cabaran yang cukup besar dalam melahirkan modal insan yang mempunyai kemahiran yang tinggi dan professional.

Sehingga kini, UKM berbangga kerana semenjak 49 tahun lalu, graduan UKM telah diterima berkhidmat dan diiktiraf kepakaran mereka di pelbagai sektor sama ada sektor kerajaan mahupun swasta. Malah kewibawaan graduan UKM telah diterima sehingga ke peringkat antarabangsa. Kecemerlangan graduan ini telah meningkatkan citra UKM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang terkemuka.

Pengiktirafan yang telah diterima oleh UKM lebih daripada empat dekad membuktikan pada usia sebegini kita sudah mampu terkehadapan dan mendahului dari segenap aspek. Inilah citra yang telah kita bina bersama-sama hasil jerih-payah perjuangan para perintis UKM terdahulu.

Sempena menyambut Semarak 50 Tahun UKM, saya berharap pelbagai program dan aktiviti dapat dilaksanakan agar penghayatan penubuhan UKM akan terus bersemarak menjelang Sambutan Jubli Emas pada tahun 2020 nanti. Saya dimaklumkan pada petang ini juga, logo Sambutan Jubli Emas UKM akan dlancarkan. Justeru saya mengucapkan tahniah kepada para pemenang dan berharap logo ini akan menyemarakkan lagi Sambutan Jubli Emas UKM.

Akhir kata, saya berharap majlis sebegini dapat memberikan kesedaran untuk kita sama-sama bersyukur dengan segala nikmat yang telah dikecapi oleh UKM dan merenung kembali sejarah penubuhan universiti ini yang unik dan istimewa. Semoga penghayatan terhadap falsafah, misi, visi dan matlamat penubuhan Universiti tercinta ini akan terus menjadi azimat untuk kita mencapai kecemerlangan di masa akan datang selaras dengan amanat Tun Abdul Razak Hussein, Canselor UKM, dalam Majlis Konvokesyen pertama yang menyatakan

Universiti kebangsaan Malaysia ini merupakan puncak dari usaha kita ke arah memenuhi tuntutan dan aspirasi rakyat yang ingin melihat bahawa Bahasa ibunda mempunyai kedaulatan dan kedudukan yang sewajarnya dalam usaha menentukan keperibadian nasional Malaysia.

18 Mei tarikh keramat
Tertubuhnya universiti aspirasi rakyat
Bahasa Melayu dijulang, ilmu dimartabat
Identiti kebangsaan terus didaulat

Berakar umbi pada masyarakatnya
Bertunjang warisan kukuhkan budaya
Harungi cabaran mendaulatkan bangsa
Pengorbanan masyarakat terpikul di jelama

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya melancarkan Video dan Logo Sambutan Jubli Emas serta Semarak 50 UKM.

Sekian.

Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Jumaat, 17 Mei 2019
2.45 petang