Teknologi Realiti Terimbuh Melangkau Sempadan Fizikal, Digital, dan Figital

Dalam era teknologi masa kini, realiti terimbuh (augmented reality, AR) muncul sebagai salah satu inovasi yang mengubah cara kita berinteraksi dengan dunia sekeliling. AR bukan sekadar konsep futuristik, tetapi telah menjadi sebahagian daripada kehidupan moden hari ini yang melangkau sempadan fizikal dan digital, bahkan “figital”, iaitu gabungan dunia fizikal dan digital. Keupayaan teknologi ini yang mengintegrasikan elemen maya ke dalam dunia nyata telah membuka potensi yang meluas, termasuk dalam pendidikan, perniagaan dan hiburan. Perkembangan pesat AR bukan sahaja menandakan satu lonjakan teknologi, tetapi juga mencerminkan perubahan paradigma dalam bagaimana manusia berinteraksi dengan maklumat dan persekitaran mereka dengan lebih berinteraktif dan bermakna.

Hubungan elemen Fizikal, Digital, dan Figital

AR Memecahkan Sempadan Fizikal

AR membantu kita melihat dunia nyata melalui perspektif baharu. Dengan bantuan peranti seperti telefon pintar, tablet atau cermin mata AR, teknologi ini mampu menambah lapisan maklumat maya ke persekitaran fizikal. Sebagai contoh dalam sektor pendidikan, AR membolehkan pelajar mempelajari subjek seperti anatomi melalui visualisasi 3D organ manusia dalam ruang yang nyata. Ini menjadikan pembelajaran lebih interaktif dan menarik dengan kos yang rendah tanpa memerlukan alat fizikal tambahan seperti model organ. Selain itu, AR juga telah diterapkan dalam latihan profesional, seperti latihan perubatan di mana doktor boleh menjalani simulasi prosedur pembedahan yang kompleks dalam persekitaran yang selamat dan terkawal.

Dalam bidang kejuruteraan pula, AR membolehkan jurutera membina dan menganalisis prototaip maya yang terimbuh melalui meja kerja fizikal sahaja. Ini dapat mengurangkan kos pembangunan dan menggiatkan proses inovasi. Dengan aplikasi AR juga, reka bentuk dapat diubah suai secara langsung dalam masa nyata, membolehkan jurutera mengesan dan membetulkan kesilapan dengan segera yang meningkatkan kecekapan proses reka bentuk. Secara tidak langsung, AR menghapus batasan fizikal yang sebelum ini memerlukan sumber dan ruang yang besar.

AR Memperkukuh Dunia Nyata dan Maya melalui teknologi

AR Menghubungkan Dunia Digital

Selain itu, AR bukan sekadar memperkaya pengalaman dunia nyata, tetapi juga menghubung dengan dunia digital. Dalam industri perniagaan, AR telah digunakan secara meluas untuk meningkatkan pemasaran produk. Sebagai contoh, pelanggan kini boleh mencuba pakaian, aksesori, atau perabot secara maya sebelum membuat pembelian. Teknologi ini, seperti yang digunakan oleh jenama IKEA melalui aplikasi AR-nya, membolehkan pengguna melihat bagaimana perabot tertentu kelihatan di ruang kediaman mereka tanpa perlu mengunjungi kedai. Pendekatan ini bukan sahaja menjimatkan masa pelanggan, tetapi juga menggalakkan pengalaman membeli-belah yang lebih berasaskan pelanggan dan personalisasi.

Tambahan pula, dalam dunia permainan video, AR mencipta pengalaman unik yang menghubungkan realiti dengan elemen digital. Permainan seperti Pokémon GO membuktikan betapa AR mampu menarik minat pengguna dengan menawarkan pengalaman hiburan yang mengintegrasikan dunia nyata dengan elemen maya. Teknologi ini juga membuka peluang kepada pembangun permainan untuk menghasilkan kandungan yang lebih dinamik dan imersif, membolehkan pengguna berinteraksi dengan permainan dalam pelbagai persekitaran nyata seperti permainan Pokemon Go yang pernah menjadi tular ketika AR masih lagi baharu di dalam bidang ini.

Revolusi Dunia Figital

Istilah figital semakin popular dalam menggambarkan gabungan dunia fizikal dan digital, di mana kedua-duanya saling melengkapi untuk mencipta pengalaman baharu. Teknologi AR memainkan peranan utama dalam mewujudkan dunia figital ini. Dalam sektor runcit misalnya, gabungan fizikal dan digital melalui AR membolehkan pembeli berinteraksi dengan produk secara maya di kedai fizikal. Pengalaman ini bukan sahaja meningkatkan kepuasan pelanggan, tetapi juga membantu peruncit mendapatkan data yang lebih mendalam mengenai tingkah laku pembeli, yang seterusnya dapat digunakan untuk menyesuaikan strategi pemasaran berdasarkan pengumpulan data analitik pengguna.

Di samping itu, dalam pembangunan bandar pintar misalnya, AR dapat memacu pengendaliannya di mana maklumat kritikal tentang infrastruktur seperti jalan raya, utiliti dan bangunan dapat dilihat dalam bentuk maya di lokasi sebenar. Teknologi ini memudahkan perancangan bandar dan pengurusan aset mewujudkan integrasi antara fizikal dan digital yang benar-benar lancar.

AR juga memainkan peranan penting dalam memacu inisiatif figital dalam bidang seni dan budaya. Pameran muzium kini semakin banyak menggunakan AR untuk memperkayakan pengalaman pengunjung, seperti memaparkan maklumat tambahan mengenai artifak, atau merekonstruksi peristiwa sejarah dalam bentuk visual dinamik. Dunia figital yang digerakkan oleh AR menawarkan pelbagai potensi untuk menghubungkan manusia dengan teknologi dalam cara yang lebih harmoni dan berkesan. AR adalah jambatan teknologi yang memecahkan sempadan antara fizikal dan digital telah membuka peluang tanpa had untuk inovasi dalam bidang budaya.  Dengan kemajuan berterusan dalam teknologi ini, masa depan yang lebih interaktif, inklusif dan efisien mampu menarik minat Generasi Z untuk menghargai warisan budaya.

Cabaran dan Masa Depan AR

Walaupun potensi AR adalah besar, teknologi ini turut menghadapi beberapa cabaran seperti kos pembangunan aplikasi AR yang tinggi, keperluan dalam penggunaan peranti khusus dan isu keserasian antara platform yang sering menjadi halangan. Di samping itu, kebimbangan terhadap privasi dan keselamatan data pengguna turut menjadi isu yang perlu dipertimbangkan.

Namun begitu, masa depan AR tetap cerah. Dengan kemajuan dalam kecerdasan buatan (AI), teknologi rangkaian 5G dan peranti mudah alih, AR dijangka menjadi lebih mudah diakses dan relevan dalam pelbagai industri masa kini. Malah, inovasi dalam bidang ini boleh membuka peluang baharu, seperti pengalaman maya yang lebih imersif untuk sektor kesihatan, pelancongan, latihan kerja dan pelbagai bidang industri yang lain.

Teknologi realiti terimbuh jelas merupakan pencetus perubahan yang melangkaui sempadan fizikal, digital dan figital. Keupayaannya untuk mencipta pengalaman yang memperkaya kehidupan harian, meningkatkan produktiviti dan memacu inovasi menjadikannya salah satu teknologi penting pada abad ke-21. Dengan perkembangan berterusan, AR bukan sahaja menjambatani jurang antara dunia nyata dan maya, tetapi juga membuka pintu kepada kemungkinan tanpa sempadan yang akan membentuk teknologi masa depan dalam masyarakat global.

Oleh:
Sri Yanti Binti Mahadzir dan Gs. Dr. Muhamad Solehin Fitry bin Rosley
yantie@ukm.edu.my; solehin@ukm.edu.my
Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia.

(Visited 72 times, 2 visits today)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *