Universiti Kebangsaan Malaysia, sebagai Universiti Penyelidikan, sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti penyelidikannya. Kecemerlangan dalam penyelidikan amat berkait rapat dengan kecemerlangan dalam pendidikan. Untuk merialisasikan cita-cita ini, Pengurusan Universiti senantiasa berusaha bagi mendapatkan dana penyelidikan dari pelbagai sumber termasuk usaha dan peluang untuk mengkomersilkan hasil penyelidikan. Usaha penubuhan Dana Waqaf ini bertujuan untuk mewujudkan suatu infrastuktur jangka panjang yang lestari bagi memenuhi sebahagian keperluan dana pembiayaian aktiviti akademik universiti.
Secara umumnya, objektif penubuhan Dana Waqaf boleh meliputi perkara berikut:
(a) Membiayai perbelanjaan untuk aktiviti pembelajaran, pengajaran, penyelidikan dan penerbitan.
(b) Membiayai ahli akademik, felo dan pelajar bagi mengadakan dan mengikuti program akademik dan kursus jangka pendek, seminar, persidangan, bengkel dan aktiviti seumpamanya.
(c) Membiayai aktiviti khidmat masyarakat dan perhubungan dengan industri.
(d) Membiayai penubuhan Kursi Kecemerlangan.
(e) Mewujudkan anugerah seperti dermasiswa, zamalah penyelidikan dan hadiah kecemerlangan akademik.
(f) Menjana pendapatan melalui pelbagai aktiviti pengurusan kewangan dan pelaburan dari dana berkenaan.
UKM menyediakan pelbagai mekanisme bagi memudahkan para dermawan yang budiman untuk membuat sumbangan kepada Dana Waqaf UKM. Di atas niat para dermawan, UKM boleh mewujudkan satu Dana Waqaf Khas atas nama yang dipersetujui oleh pihak dermawan. Pada prinsipnya, nilai prinsipal sumbangan akan dikekalkan dan dikembangkan. Perbelanjaan dari Dana Waqaf adalah berasaskan hasil pulangan dari pengurusan kewangan Dana seperti pelaburan dan pasaran wang. Walaubagaimanapun, pihak dermawan boleh pelbagaikan bentuk sumbangan kepada dua komponen iaitu (i) Waqaf yang kekal, dan (ii) Infaq yang dimanfaatkan atau dibelanjakan terus.
(kembali ke atas)
Pelbagai Kaedah Menyumbang
1. Tunai – Sumbangan sekali pada jumlah yang diniatkan
2. Tunai – Sumbangan secara berkala sehingga mencapai jumlah yang diniatkan
3. Tunai – Sumbangan secara berkala mengikut tempoh dan jumlah yang dipersetujui
4. Tunai – Tunai didermakan tetapi diuruskan oleh pihak penderma dan hasil pulangan akan disalurkan kepada Dana Waqaf dan Infaq
5. Tunai – Tunai diuruskan oleh pihak penderma dan hasil pulangan diserahkan kepada Dana Waqaf dan Infaq
6. Aset Kewangan – Keseluruhannya dipindahmilik kepada UKM untuk Dana Waqaf
7. Aset Kewangan – Prinsipal diuruskan oleh pihak penderma dan hasil pulangan diserahkan kepada Dana Waqaf dan Infaq
(kembali ke atas)
Kursi Kecemerlangan
Sesuatu Dana Waqaf boleh mewujudkan sebuah Kursi Kecemerlangan yang khusus dengan nilai minima dana yang disyorkan adalah tidak kurang daripada RM3.5 juta. Pulangan atas nilai ini akan menentukan bilangan orang penyandang Kursi, tempoh khidmat para penyandang serta program-program akademik yang dapat diusahakan. Sebaliknya, sesebuah Dana Waqaf boleh mewujudkan satu “Anugerah Kursi Khas” yang merupakan salah satu bentuk anugerah dan perbelanjaan Dana Waqaf berasaskan keperluan aktiviti yang dirancangkan.
(kembali ke atas)
Anugerah Penyelidikan Pasca Siswazah, Zamalah, Dermasiswa, Seminar
Hasil pulangan Dana Waqaf akan dimanfaatkan untuk berbagai kegiatan akademik. Bagi para penderma yang menyumbang secara berkala, adalah disarankan pada peringkat awal penubuhan Dana Waqaf, sejumlah wang juga disumbangkan untuk membiayai anugerah penyelidikan seperti dermasiswa dan zamalah pada tahap pasca siswazah. (kembali ke atas)
Pengurusan Dana Waqaf UKM
Semua Dana Waqaf adalah diuruskan oleh pejabat Bendahari Universiti dengan menguatkuasakan semua peruntukan dan peraturan kewangan. Pengurusan Universiti telah mewujudkan Lembaga Pemegang Amanah Dana Waqaf UKM selaku badan pengawal induk. Walaubagaimanapun, bagi setiap Dana Waqaf Khas, satu Jawatankuasa Akaun Amanah (JAA) akan ditubuhkan yang dianggotai oleh sekurang-kurangnya 3 orang. Salah seorang darinya adalah mewakili pihak penyumbang.
Kiranya aktiviti Dana tersebut tidak lagi aktif bagi jangkamasa melebihi 3 tahun atau tujuan dan maksud penubuhannya sudah tercapai dan selesai, Pengurusan Universiti mempunyai kuasa untuk menutup Akaun Dana tersebut dan memindahkan bakinya ke Dana Waqaf UKM bagi memelihara kemurniaan prinsip Waqaf.
(kembali ke atas)
Pelepasan Cukai
Syarikat-syarikat yang menyumbang dana penyelidikan ataupun menggunakan perkhidmatan penyelidikan UKM berhak mendapatkan potongan cukai berganda. Begitu juga individu yang menyumbang kepada Dana Waqaf boleh mendapat resit pelepasan cukai yang diktiraf sebagai belanja yang dibenarkan dalam penaksiran cukai pendapatan.
(kembali ke atas)