Universiti Kebangsaan Malaysia, sebagai Universiti Penyelidikan, sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti penyelidikannya. Kecemerlangan dalam penyelidikan amat berkait rapat dengan kecemerlangan dalam pendidikan. Untuk merialisasikan cita-cita ini, Pengurusan Universiti senantiasa berusaha bagi mendapatkan dana penyelidikan dari pelbagai sumber termasuk usaha dan peluang untuk mengkomersilkan hasil penyelidikan. Usaha penubuhan Dana Waqaf ini bertujuan untuk mewujudkan suatu infrastuktur jangka panjang yang lestari bagi memenuhi sebahagian keperluan dana pembiayaian aktiviti akademik universiti.
Secara umumnya, objektif penubuhan Dana Waqaf boleh meliputi perkara berikut:
(a) Membiayai perbelanjaan untuk aktiviti pembelajaran, pengajaran, penyelidikan dan penerbitan.
(b) Membiayai ahli akademik, felo dan pelajar bagi mengadakan dan mengikuti program akademik dan kursus jangka pendek, seminar, persidangan, bengkel dan aktiviti seumpamanya.
(c) Membiayai aktiviti khidmat masyarakat dan perhubungan dengan industri.
(d) Membiayai penubuhan Kursi Kecemerlangan.
(e) Mewujudkan anugerah seperti dermasiswa, zamalah penyelidikan dan hadiah kecemerlangan akademik.
(f) Menjana pendapatan melalui pelbagai aktiviti pengurusan kewangan dan pelaburan dari dana berkenaan.
UKM menyediakan pelbagai mekanisme bagi memudahkan para dermawan yang budiman untuk membuat sumbangan kepada Dana Waqaf UKM. Di atas niat para dermawan, UKM boleh mewujudkan satu Dana Waqaf Khas atas nama yang dipersetujui oleh pihak dermawan. Pada prinsipnya, nilai prinsipal sumbangan akan dikekalkan dan dikembangkan. Perbelanjaan dari Dana Waqaf adalah berasaskan hasil pulangan dari pengurusan kewangan Dana seperti pelaburan dan pasaran wang. Walaubagaimanapun, pihak dermawan boleh pelbagaikan bentuk sumbangan kepada dua komponen iaitu (i) Waqaf yang kekal, dan (ii) Infaq yang dimanfaatkan atau dibelanjakan terus.