7,021 GRADUAN TERIMA IJAZAH DI MAJLIS KONVOKESYEN UKM KE-46

 

BANGI, 10 November 2018 – Seramai 7,021 graduan telah bergraduasi pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Ke-46, hari ini.

Daripada jumlah itu, seramai 571 graduan ijazah Doktor Falsafah, 2,070 graduan Ijazah Sarjana, 223 Ijazah Sarjana Kepakaran Perubatan, empat graduan Ijazah Sarjana Kepakaran Pergigian, satu Ijazah Sarjana Kepakaran Perubatan Lanjutan Dematologi, 4,069 Ijazah Sarjana Muda, 75 graduan Diploma Pascasiswazah dan lapan graduan Diploma Lanjutan.

Pada majlis konvokesyen kali ini, UKM menganugerahkan Ijazah Kehormat kepada Pro-Canselor UKM, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid (Ijazah Kehormat Doktor Falsafah – Kepimpinan dan Pentadbiran Awam) yang telah banyak menyumbang kepada universiti dan negara.

Seramai lima orang mantan ahli akademik UKM turut menerima anugerah Profesor Emeritus. Mereka ialah Dato’ Paduka Zakaria Stapa (Pengajian Islam – Tasawuf, Akhlak, Mistisme, Akidah dan Pemikiran Islam), Dr. Abdul Razak Hamdan (Kecerdasan Buatan), Dr. Normah Mohd Noor (Kultur Tisu dan Pengkrioawetan Tumbuhan), Dato’ Dr. Mohammed Embi (Biokimia) dan Datuk Dr. Sukiman Sarmani (Kimia).

Selain itu, lima orang graduan telah terpilih untuk menerima anugerah berprestij iaiti Anugerah Pelajaran DiRaja, Anugerah Naib Canselor dan Anugerah Tun Razak.

Graduan yang dianugerahkan Anugerah Pelajaran DiRaja ialah Sharifah Fatimah Syed Mahusin, graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam Dengan Kepujian Cemerlang dalam bidang Pengajian Dakwah dan Kepimpinan dari Fakulti Pengajian Islam dan Jason Cheong Kah Lok, graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan Kepujian Cemerlang dari Fakulti Undang-Undang.

Anugerah Naib Canselor diberikan kepada Azlia Asmira Ruslee, graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan Dengan Kepujian Cemerlang dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan.

Anugerah Tun Razak pula diberikan kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian Cemerlang dalam bidang Kimia dari Fakulti Sains dan Teknologi, Teh Wan Lin dan Nur Laili Arba’i, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Pemakanan dengan Kepujian Cemerlang dari Fakulti Sains Kesihatan.

Majlis Konvokesyen UKM Ke-46 berlangsung dari 10 hingga 13 November 2018 di Dewan Canselor Tunku Abdul Rahman (DECTAR), UKM.