Takrifan Zakat

PENGERTIAN ZAKAT

 

1

“Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah, supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk), dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka, dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui.” – Surah At-Taubah (ayat 103)

 

2

“Dan dirikanlah kamu akan sembahyang serta keluarkanlah zakat dan taatlah kepada Rasul supaya kamu beroleh rahmat”- Surah An-Nur (ayat 56)

3

“Dan (ingatlah wahai Muhammad), Ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): Janganlah kamu menyembah melainkan ALLAH, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu-bapa, dan kaum kerabat dan anak-anak yatim, serta orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat. Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil daripada kamu dan sememangnya kamu orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya.” – Surah Al-Baqarah (ayat 83)

 

 

Dari ayat-ayat di atas, amat jelas tentang kewajipan berzakat dan sesiapa yang mengingkari atau meragui kefarduannya, maka ianya terkeluar dari agama Islam. Sejarah telah membuktikan bahawa Khalifah Abu Bakar telah memerangi orang-orang yang mengingkari membayar zakat. Mereka yang kaya dan berada juga harus menyedari bahawa wujudnya hak orang-orang fakir dan miskin di dalam harta yang mereka miliki.

MAKLUMAT UMUM KUTIPAN

 

Penambahan Umum Maklumat Zakat

 

1) Ada 2 jenis Kadar Zakat

 

Bil Haul Kadar Zakat (%)
1 Tahun Qomariah/ Hijri  (354 hari) 2.5
2 Tahun Shamsiah / Masihi (365 hari) 2.577 = 365 hari x 2.5% / 354 hari

Asal penentuan haul untuk kiraan zakat ialah berdasarkan kepada tahun hijri. Namun pada hari ini, kalendar yang digunakan diseluruh dunia, termasuk umat Islam secara umumnya adalah kalendar masihi. Oleh itu jika seseorang mengira zakatnya berdasarkan kepada kalendar masihi, maka kadar zakat ialah 2.577% setelah mengambilkira perbezaan hari diantara kalendar masihi dan kalendar hijri.

Penggunaan kadar berbeza ini turut digunakan oleh Accounting and Auditing Organization of Islamic Financial Institutions (AAOIFI) di dalam Financial Accounting Standard (Perenggan Kedua) untuk zakat (FAS 9).

 

2) Bagi tujuan penentuan nisab, beberapa kategori pendapatan / harta hendaklah dicampurkan jika bersamaan ‘illah hukum (عِلَّة).

Nisab sesuatu harta adalah berbeza-beza berdasarkan jenis-jenis harta zakat. Nilai jumlah minimum nisab zakat telah ditetapkan dengan hadith. Bagi jenis pendapatan / harta zaman semasa yang tidak terdapat dalam nas-nas sebelum ini nisabnya diqiyaskan kepada nisab asal jika jenis-jenisnya bersamaan ‘illah (عِلَّة) hukum tersebut.

Sebagai contoh, jika pendapatan penggajian tidak mencapai nisab,maka hendaklah di gabungkan dengan pendapatan lain (seperti kerja bebas, rumah sewa) yang disandarkan kepada asas nisab emas.

Contoh kedua ialah seorang yang memiliki pelbagai jenis binatang (lembu, kambing, unta) zakatnya berdasarkan nisab setiap jenis binatang. Jika ia memiliki ternakan kambing dari pelbagai jenis contohnya biri-biri, kibash, kambing gurun, boer, jamnapari zakatnya ditaksirkan berasaskan nisab kambing.

Contoh lain adalah, Ahmad memiliki :

  • Seketul emas (gold bar) seberat 50 gram.
  • Dia juga memiliki Simpanan Tetap (FD) sebanyak RM7,000 (bersamaan separuh nisab RM14,000 – dengan andaian nilai 85 gram emas ialah RM 14,000).
  • Oleh itu pada tarikh cukup haul, dia hendaklah mencampurkan FD sejumlah RM7,000 dengan RM8,235 (iaitu nilai 50 gram emas). Maka zakat ialah RM15,235 darab 2.5% bersamaan RM381.

Contoh Formula :

[ Pendapatan Penggajian + Pengeluaran KWSP (sebelum umur 55 tahun) + Pendapatan Bukan Penggajian + sebarang jenis harta berasaskan nisab emas YANG TIDAK disyaratkan haul ≥ nisab semasa ] x 2.5%

atau

[ Wang Simpanan + Nilai tunai polisi takaful + nilai emas bukan perhiasan (غَيْرُالحُلِّى) + sebarang jenis harta berasaskan nisab emas YANG disyaratkan haul>nisab semasa ] x 2.5%

3) Tolakan harta atau pendapatan haram dan syubhah

 

Harta yang haram atau syubhah tidak termasuk dalam harta yang wajib zakat.

 “إِنَّ اللهَ طَيِّبٌ لاَ يَقْبَلُ إِلاَّ طَيِّبًا”

“Sesungguhnya Allah itu thayib (baik), tidak menerima (suatu amal) kecuali yang baik (halal)”
(HR Muslim).
.

Melalui hadis ini dapat difahami bahawa Allah hanya menerima sesuatu amal hambaNya dari sumber yang halal dan baik sahaja.Harta yang diperolehi oleh sumber yang tidak patuh syariah tidak boleh dijadikan harta untuk membayar zakat sebagai contoh :

  • Dividen atau keuntungan dari sebarang transaksi yang berasaskan riba’.
  • Harta dari hasil pekerjaan yang haram seperti merompak dan mencuri.

Dalam urusniaga berteraskan riba, hasil keuntungan adalah tidak perlu malahan tidak boleh dibersihkan dengan zakat atau sadaqah. Bagaimanapun modal asal / nilai pokok dalam urusniaga tersebut, jika bersumberkan daripada harta yang halal, adalah perlu dizakatkan. Ini berdasarkan ayat berikut:

ayat

 

“Kalau kamu tidak melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa”
(Al-Baqarah 279)

4) Penyelarasan kiraan zakat dua kali

 

Zakat tidak diambil dua kali daripada harta yang sama dalam satu haul. Implikasinya adalah, hasil pulangan atau dividen yang diterima daripada perniagaan atau pelaburan yang telah membayar zakat perniagaan, maka dipihak pelabur, tidak dizakatkan lagi atas hasil pulangan tersebut untuk mengelakkan zakat dua kali atas harta yang sama.

Rasulullah S.A.W ada menyebut bahawa ;

“لا ثنى في الصدقة”

“Tidak ada gandaan dalam zakat”.

(أخرجه ابن أبي شيبة),

 lates update : 12 Februari 2016