PEMANTAUAN
Terdapat pelbagai cara yang digunakan pada masa kini untuk membantu manusia sejagat memantau kejadian tsunami. Cara yang paling mudah ialah dengan meramalkan tsunami berdasarkan kejadian gempa bumi di kawasan atau rantau yang berdekatan. Di Jepun, penduduk di kawasan yang sering mengalami kejadian tsunami yang berskala kecil telah faham atau mempraktikkan teknik ini. Apabila berlaku kajadian gempa bumi, penduduk ini merasai gegaran itu sendiri dan mentafsirkan samada kejadian tsunami akan berlaku atau tidak. Jika berlaku, adakah ia berskala kecil atau besar dan mereka akan menjauhkan diri dari pantai jika tsunami yang bakal berlaku itu berskala besar. Penduduk di persisiran pantai di kawasan yang sering menghadapi tsunami juga perlu pergi ke arah tanah tinggi apabila berlaku gempa bumi atau letusan gunung berapi bagi yang tinggal berhampiran gunung berapi. Mereka juga perlu mengelakkan dari pergi ke arah pantai sekiranya berlaku tanda-tanda awal tsunami seperti air yang surut secara tiba-tiba.
Selain dari perlindungan diri sendiri ini, terdapat juga kaedah lain untuk memantau tsunami seperti menggunakan satelit pemantau alam sekitar seperti satelit altimetry Envisat, Jason-1 and Topex/Poséidon dan pemantau tsunami jenis dasar laut dan jenis terapung (buoy).
Walaupun penggunaan satelit pemantau alam sekitar dapat memberikan maklumat yang tepat, namun satelit-satelit ini perlu berada dalam lingkungan kejadian tsunami tersebut untuk mengesan sebarang kejadian tsunami. Seperti kejadian tsunami Aceh 2004, satelit Jason-1 dan Topex/Poséidon kebetulan mengorbit di atas Lautan Hindi ketika tsunami tersebut sedang mara ke arah India dan Sri Lanka. Oleh yang demikian, kebergantungan terhadap satelit ini adalah tidak efektif sehinggalah lebih banyak satelit pemantau alam sekitar ini diorbitkan demi tujuan pemantauan.
Sistem pemantauan yang paling baik buat masa ini ialah dengan menggunakan pemantau tsunami jenis terapung (surface buoy) seperti yang digunakan oleh NOAA (National Oceanic and Atmospheric Administrations USA) sekarang.