Pusat Penyelidikan Ekosistem Marin (EKOMAR) dan Kelab Legasi Selam Skuba Malaysia (Leges Divers) dengan kerjasama Etiqa General Takaful Berhad (EGTB0 telah mengadakan Program Pemeliharaan dan Pemuliharaan Pulau Tioman 2023 yang bertempat di Kg Salang, Pulau Tioman pada 18-20 Ogos 2023. Program selama tiga hari itu turut melibatkan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Asamuddin Abu Hasan dan Mohamad Fahmi Yusof dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Lee Jen Nie sebagai penasihat teknikal sepanjang program berlangsung.

Tujuan program CSR ini diadakan adalah bagi meningkatkan tahap kesedaran rakyat Malaysia dalam pemuliharaan ekosistem marin di Malaysia dan menggalakkan masyarakat umum terutama sektor korporat untuk bersama menyumbang dalam pemeliharaan alam sekitar terutamanya ekosistem marin.

Program ini merupakan lanjutan program sejak dari tahun 2017 yang lalu. Manakala program dengan kerjasama EKOMAR ini juga adalah lanjutan dari program bersama EGTB pada tahun 2022 yang lalu. Semoga program ini dapat memberi impak kepada aktiviti konservasi marin dan masyarakat setempat.