Memperkasa negara bangsa menerusi penyelidikan penyelidik muda pascasiswazah adalah merupakan agenda utama sesebuah universiti penyelidikan seperti UKM. Justeru penganjuran Persidangan Pascasiswazah FSSK kali kelapan atau POGRES2025 merupakan platform yang tepat untuk menyokong hasrat ini. Bertemakan ‘Pemerkasaan Negara Bangsa melalui Penyelidikan Sains Sosial’, tema ini amat relevan dengan keperluan semasa memandangkan negara berdepan cabaran globalisasi, perubahan sosial dan kemajuan teknologi. Situasi ini menuntut kita menilai semula kedudukan sebagai sebuah negara bangsa yang teguh dan bersedia untuk terus maju menghadapi cabaran.
POGRES 2025 ini telah disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Azlan Abas, Timbalan Dekan Siswazah yang dalam ucapannya berharap agar para pembentang akan menggunakan platform ini untuk menimba sebanyak ilmu pada sesi-sesi selari dan juga input-input yang disampaikan di dalam sesi ucaptama POGRES 2025. Sesi ucaptama telah disampaikan oleh Prof. Aquarini Priyatna, Dekan Fakultas Ilmu Budaya, Universitas Padjadjaran, Indonesia. Beliau merupakan seorang tokoh ilmuan di Asia Tenggara yang menulis buku berimpak di dalam bidang kajian yang berkaitan dengan jantina dan teori budaya. Di dalam pembentangan beliau yang bertajuk “Why Gender Research Is Matters?”, beliau menekankan kepentingan kesaksamaan gender bagi memastikan lelaki dan wanita mempunyai peluang dan hak yang sama, yang menyumbang kepada kemajuan sosial, ekonomi dan politik dengan menjadikan pendidikan sebagai asas utama dalam memperkasakan agenda tersebut. Tambah beliau lagi, penyelidikan jantina mampu mendedahkan ketidaksamaan jantina dalam sektor seperti pekerjaan, penjagaan kesihatan dan perwakilan politik yang menunjukkan perlunya campur tangan dasar dalam menilai semula bidang ini.
POGRES kali ini mencatat sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya, seminar ini digerakkan sepenuhnya oleh calon pascasiswazah FSSK dengan bimbingan pensyarah dan turut disertai pembentang antarabangsa dari Indonesia. Inisiatif ini sangat bermakna, bukan sahaja dalam melatih tetapi juga memperkasa kemahiran insaniah (soft skills) para pelajar pascasiswazah FSSK.
Penganjuran POGRES pada kali ini, menerima 63 penyertaan dari dalam dan luar negara, memperlihatkan usaha fakulti dalam memartabatkan kecemerlangan akademik. Ia juga berjaya memperkukuh hubungan pelbagai bidang ilmu sambil mencipta ruang untuk pertukaran idea baharu dalam kalangan para pembentang. Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Dr. Kadaruddin Aiyub, Dekan FSSK UKM.
Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia 43600, Bangi, Selangor, Malaysia
Hak cipta terpelihara @2025 | DCU,FSSK