Ilmu adalah prasyarat ke arah mengejar cita-cita membangunkan sebuah negara bangsa yang maju, berwibawa dan cemerlang. Keperluan dalam melahirkan graduan berkualiti semakin meningkat dengan pesat, terutamanya dengan kemunculan industri baharu yang didorong oleh inovasi teknologi. Industri seperti kecerdasan buatan, sains data dan kecerdasan seni buatan memerlukan individu yang tidak hanya mempunyai asas yang kukuh dalam bidang sains dan teknologi, tetapi juga kreatif, inovatif serta mampu beradaptasi dengan cepat terhadap perubahan yang berlaku. Graduan berkualiti merupakan aset yang amat penting bagi setiap negara dan industri. Mereka tidak hanya menjadi tulang belakang untuk pertumbuhan ekonomi, tetapi juga memainkan peranan penting dalam membentuk landskap profesional yang dinamik.
Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Sham Mohd Sani adalah satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam kalangan ahli akademik di FSSK dan UKM. Figura ini merupakan tokoh yang telah banyak menyumbang jasa dan bakti kepada universiti dan fakulti ini apabila pernah dilantik sebagai Naib Canselor UKM ke tujuh pada tahun 1993 hingga 1998. Walaupun telah lama bersara dari dunia akademik, tokoh ini masih terus bersemangat berkongsikan ilmu dan pengalaman apabila baru-baru ini dijemput ke Seminar Bicara Tokoh bagi mengupas tajuk ‘Universiti Watan dan Graduan Berkualiti’ anjuran Pusat Kajian Pembangunan, Sosial & Persekitaran (SEEDS).
Di dalam program berkenaan, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Sham Mohd Sani menggalakkan mahasiswa agar melibatkan diri dan menjalin kerjasama dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) denganmenghadirkan diri ke mana-mana persidangan akademik kerana ia merupakan langkah penting bagi graduan yang ingin meningkatkan kebolehan interpersonal dan memperluaskan rangkaian mereka kepada orang lain. Menghadiri mana-mana persidangan juga memberi peluang untuk graduan mendengar pandang-pandangan yang berbeza, meningkatkan pengetahuan dan membina hubungan dengan para profesional berkaitan dengan bidang diceburi.
Selain itu, beliau juga memberikan tips agar bakal graduan menambah kemahiran insani (soft skills) mereka untuk bersaing dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif. Beliau tutut berkongsikan beberapa platform atas talian seperti Massive Open Online Courses (MOOCs) dan edX yang boleh digunakan bagi memudahkan bakal graduan mengakses kursus-kursus yang ditawarkan secara percuma dan fleksibel untuk menambah sijil kemahiran insani mereka. Kemahiran-kemahiran tambahan inilah yang bakal membezakan dan memberikan ciri unik graduan FSSK dan UKM berbanding graduan universiti lain.
Di samping itu juga, beliau turut menegaskan bahawa graduan yang lahir dari FSSK, haruslah mempunyai ciri-ciri seperti mampu berkomunikasi dan menulis secara berkesan, berfikiran kritis dalam menyelesaikan masalah serta mempunyai etika profesional kerana ini juga merupakan aspek terpenting yang membezakan mereka di dalam pasaran kerja.Selain berkongsi tips untuk memupuk graduan yang berkualiti, beliau juga turut menceritakan perjalanan hidupnya yang diibaratkan bagai air mencari jenisnya. Beliau sememangnya seorang individu yang hebat, seorang tokoh, seorang teladan, seorang pensyarah yang bukan sahaja mengajar, tetapi memberi inspirasi, memberi warisan yang abadi dalam bidang akademik. Semoga Allah sentiasa merahmati beliau dan segala ilmu dan bakti yang dicurahkan terus membugar dalam kalangan anak watan UKM.
Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia 43600, Bangi, Selangor, Malaysia
Hak cipta terpelihara @2025 | DCU,FSSK