FSSK UKM Terajui Perbincangan Global Mengenai AI dan Sains Sosial Melalui ICOSH 2025

Oleh: Muhammad Akmal Arfan

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) sekali lagi mencipta sejarah apabila berjaya menganjurkan Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan ke-9 (The 9th International Conference on Social Sciences and Humanities, ICOSH 2025) yang bertemakan “Hubungan Manusiawi: Sains Sosial dalam Era Kecerdasan Buatan dan Teknologi.”

Persidangan berprestij yang telah berusia lebih dua dekad ini memberi tumpuan kepada pelbagai bidang ilmu sains sosial dan kemanusiaan termasuk kerja sosial, psikologi, linguistik, kesusasteraan, komunikasi, budaya, politik, agama, kajian digital, ekonomi dan lain-lain.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada UKM dan Kementerian Pendidikan Tinggi kerana mempercepatkan penubuhan fakulti khusus bagi bidang Kecerdasan Buatan (AI). Beliau menegaskan, langkah ini penting bagi mempercepat pembangunan bakat dalam sektor AI, digital serta industri elektrik dan elektronik agar Malaysia terus berdaya saing di peringkat global.

Naib Canselor UKM, Prof. Dr. Sufian Jusoh, pula menekankan bahawa ICOSH 2025 merupakan medan unggul bagi pertukaran idea, inovasi dan kolaborasi rentas negara. 

“Kita telah menyaksikan pertukaran ilmu, idea dan inovasi yang luar biasa sepanjang persidangan ini. Usaha semua pihak telah berjaya mewujudkan platform terbaik bagi menyatukan dunia akademik dan industri serta mendorong perbincangan bermakna yang akan mencorakkan hala tuju hubungan manusiawi dan kecerdasan buatan teknologi. 

Pelbagai pembentangan kertas kerja, forum panel, bengkel dan syarahan utama telah dianjurkan, mencerminkan kepelbagaian pendekatan dan kepakaran antarabangsa dalam menghadapi cabaran era global,” katanya.

Beliau menambah bahawa melalui FSSK, UKM memperteguh usaha kolektif dalam memperdalam kefahaman, memperluas kerjasama dan memperkasakan tindak balas terhadap isu-isu sosial global yang semakin kompleks.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohamad Abd. Razak, Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman serta Dekan FSSK, Prof. Dr. Kadaruddin Aiyub.

Lokasi

Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia 43600, Bangi, Selangor, Malaysia

Waktu Operasi

Hak cipta terpelihara @2025 | DCU,FSSK

Translate »