Majlis Taklimat Pelajar Baharu Program Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) Kohort ke-46.

Oleh: Ezzatul Nadia Idris

Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dengan kerjasama Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) telah menganjurkan Majlis Taklimat Pelajar Baharu Program Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) bagi Kohort ke-46.

Program Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) merupakan salah satu program di bawah Memorandum Perjanjian (MoA) antara FSSK dan MPAT serta kekal sebagai program bersama yang paling aktif dan berterusan sehingga kini. Bagi Kohort ke-46, program ini menerima penyertaan seramai 60 orang pelajar, termasuk sembilan orang pelajar antarabangsa dari India, Indonesia, Thailand, Arab Saudi, Oman, Amerika Syarikat, Türkiye, China dan Filipina.

Penganjuran majlis taklimat ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar baharu berkaitan struktur program, keperluan akademik serta hala tuju pengajian dalam bidang keselamatan dan pertahanan. Program ini turut menjadi platform penting dalam melahirkan pegawai kanan tentera yang berkeupayaan berinteraksi secara berkesan dengan pihak pemerintah, ahli akademik dan cendekiawan.

Dengan kepakaran tenaga akademik serta ekosistem pembelajaran yang kondusif, FSSK komited untuk memastikan kualiti pengajaran dan pembelajaran yang holistik serta relevan dengan keperluan semasa negara.

FSSK merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak MPAT atas kepercayaan berterusan yang diberikan kepada FSSK-UKM sebagai rakan strategik dalam penawaran program ini. Kerjasama erat ini diharapkan dapat terus diperkukuh demi pembangunan ilmu dan keselamatan negara.

Lokasi

Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia 43600, Bangi, Selangor, Malaysia

Waktu Operasi

Hak cipta terpelihara @2025 | DCU,FSSK

Translate »