Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Sekretariat Prasiswazah FSSK telah menganjurkan Program Intervensi Khas Anakanda Terpilih (PIKAT) Siri 3 selama dua hari, bermula 7 hingga 8 Januari 2026, bertempat di Villea Morib, Banting, Selangor.
Program ini melibatkan penyertaan 20 orang pelajar prasiswazah terpilih daripada enam program pengajian di FSSK. Sepanjang pelaksanaan program, para peserta dibimbing oleh 10 orang pensyarah terlatih yang bertindak sebagai fasilitator, dengan pendekatan bimbingan yang bersifat holistik, berfokus dan menyeluruh.
PIKAT Siri 3 dianjurkan sebagai satu inisiatif intervensi akademik bertujuan membantu pelajar memperkukuh fokus pembelajaran, meningkatkan motivasi diri, serta menyusun semula perancangan akademik dan pembangunan kendiri secara lebih terancang dan sistematik. Pelbagai aktiviti bimbingan berstruktur telah dilaksanakan bagi membantu peserta meneroka pengalaman hidup, mengenal pasti kekuatan dan sumber motivasi diri, serta memahami kedudukan akademik masing-masing dengan lebih jelas.
Selain itu, program ini turut memberi pendedahan kepada kemahiran pengurusan masa, penetapan keutamaan, dan perancangan akademik yang realistik selaras dengan keperluan dan cabaran kehidupan sebagai pelajar universiti. Elemen pengukuhan keyakinan diri diterapkan melalui aktiviti refleksi kendiri, perkongsian pengalaman serta visualisasi kejayaan bagi membantu peserta memperjelas hala tuju pengajian dan matlamat masa hadapan.
Pelaksanaan PIKAT Siri 3 menggunakan Modul PIKAT yang telah diguna pakai oleh FSSK sejak tahun 2024, dengan penekanan terhadap pembangunan potensi akademik, pembinaan keyakinan diri dan penetapan hala tuju kehidupan pelajar. Secara keseluruhan, program ini menerima maklum balas yang positif, dengan majoriti peserta menunjukkan tahap keterlibatan yang tinggi serta semangat baharu dalam merancang perjalanan akademik mereka di FSSK.
Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia 43600, Bangi, Selangor, Malaysia
Hak cipta terpelihara @2025 | DCU,FSSK