POGRES 2026 Jadi Platform Wacana Penyelidikan Pascasiswazah FSSK UKM Membentuk Masa Hadapan

Oleh: Muhammad Akmal Arfan

Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) hari ini telah menganjurkan The 9th International Postgraduate Research Conference (POGRES) 2026 yang berlangsung di Dewan Perdana FSSK sebagai platform pengukuhan budaya penyelidikan dalam kalangan pelajar pascasiswazah.

Majlis perasmian persidangan telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Prof. Dr. Ismanizan Ismail, Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, UKM, yang menegaskan bahawa penyelidikan dan inovasi merupakan teras utama identiti institusi UKM sebagai sebuah universiti kebangsaan.

Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa aspirasi penyelidikan UKM bukan sekadar tertumpu kepada penerbitan dan penarafan, sebaliknya juga berlandaskan penghasilan ilmu yang relevan secara sosial, beretika dan mampu memberi impak kepada pembangunan negara dan masyarakat. 

Mengulas kepentingan penganjuran POGRES, Prof. Dr. Ismanizan menjelaskan bahawa persidangan seperti ini menyediakan ruang penting kepada penyelidik pascasiswazah untuk membentangkan hasil kajian, memperhalusi idea, menerima maklum balas konstruktif serta membina keyakinan akademik dalam suasana wacana ilmiah yang profesional. 

Persidangan POGRES 2026 turut menampilkan ucaptama oleh Professor Mely Caballero-Anthony dari S. Rajaratnam School of International Studies (RSIS), Nanyang Technological University, Singapura, bertajuk “Global Security and Governance at an Inflection Point: Normative Contestation, Power Reassertion, and ASEAN’s Agency”. Ucaptama tersebut mengupas landskap keselamatan global yang sedang berubah, persaingan norma dan kuasa besar serta peranan strategik ASEAN dalam mengemudi cabaran tadbir urus dan keselamatan serantau.

Lokasi

Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia 43600, Bangi, Selangor, Malaysia

Waktu Operasi

Hak cipta terpelihara @2025 | DCU,FSSK

Translate »