SEEDS FSSK UKM Perteguh Kerjasama Strategik Akademik bersama UMS, Indonesia

Oleh: Muhammad Akmal Arfan

Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi Pusat Kajian Pembangunan Sosial dan Persekitaran (SEEDS) telah mengadakan kunjungan akademik ke Universitas Muhammadiyah Surakarta (UMS), Indonesia, sebagai usaha berterusan memperkukuh jaringan kerjasama akademik antarabangsa.

Kunjungan ini merupakan kesinambungan kepada kerjasama sedia ada antara kedua-dua institusi, khususnya melibatkan pelantikan pensyarah pelawat serta pelaksanaan pelbagai aktiviti akademik seperti penilaian kurikulum, wacana penerbitan jurnal dan inisiatif penerbitan bersama yang telah dijalankan sebelum ini.

Selain itu, perbincangan turut memberi tumpuan kepada potensi penempatan pelajar FSSK bagi menjalani latihan industri antarabangsa di UMS. Inisiatif ini dicadangkan melalui pendekatan reciprocal yang membuka peluang penempatan pelajar FSSK di sektor industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta agensi kerajaan di sekitar universiti tersebut, selaras dengan keperluan latihan industri berorientasikan pengalaman antarabangsa.

Seterusnya, kunjungan dan sesi perbincangan ini turut memberi impak positif dalam memperkaya percambahan idea dari sudut penyelidikan dan penerbitan antara pensyarah kedua-dua institusi. Kedua-dua pihak menyatakan persetujuan bersama untuk memperkukuh kerjasama penyelidikan melalui pelaksanaan Dana Suntikan Padanan Kolaborasi, sekali gus menyokong agenda penghasilan penyelidikan berimpak tinggi di peringkat serantau.

Secara keseluruhannya, kunjungan akademik SEEDS FSSK UKM ke UMS ini mencerminkan komitmen berterusan fakulti dalam memperluas jaringan antarabangsa, memperkasa mobiliti pelajar dan penyelidik serta memperkukuh kolaborasi strategik yang menyumbang kepada pembangunan ilmu dan kelestarian akademik.

Lokasi

Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia 43600, Bangi, Selangor, Malaysia

Waktu Operasi

Hak cipta terpelihara @2025 | DCU,FSSK

Translate »