Tanggal 28 April 2026 akan terus terpahat sebagai sebuah naskhah sejarah yang gilang-gemilang buat ranah kesusasteraan tanah air. Namun, di sebalik apresiasi di peringkat negara, wujud satu kebanggaan yang luar biasa di fakulti tercinta ini. Pengumuman tokoh ilmuan dan pengarang prolifik, Allahyarham Dr. Abdul Rahman Napiah, atau lebih dikenali dengan, Mana Sikana, sebagai penerima Anugerah Sastera Negara Ke-16 merupakan satu pengiktirafan tertinggi yang amat bermakna buat seluruh warga Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, UKM. Bagi warga FSSK dan UKM amnya, pengiktirafan ini bukan sekadar penganugerahan gelaran, sebaliknya ia adalah manifestasi keutuhan tradisi keilmuan yang selama ini dijunjung oleh UKM dan FSSK.
Mana Sikana dan FSSK UKM mempunyai pertalian yang organik dan sejati. Di mimbar akademik inilah beliau belajar dan menabur bakti sebagai seorang sarjana, pendidik, dan pemikir yang tidak pernah lelah menyuburkan wacana intelektual, khususnya di Jabatan Persuratan Melayu (kini dikenali sebagai Pusat Kajian Bahasa, Kesusasteraan & Kebudayaan Melayu (BITARA-MELAYU)). Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera Kelas pertama pada tahun 1978, Ijazah Sarjana Sastera pada tahun 1980 dan Ijazah Doktor Falsafah pada tahun 1990. Kesemuanya dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
Melalui tangan dan pemikiran beliaulah, lahirnya ratusan sarjana, pengkritik sastera, dan pelapis pemikir bangsa yang kini meneruskan kesinambungan legasi beliau di serata pelusuk negara. Warga FSSK amat berbangga kerana dari ‘rahim’ keilmuan fakulti inilah, ketokohan seorang Sasterawan Negara terus dibajai dan dikembangkan.
Mana Sikana Beliau pelopor yang berani membawa anjakan paradigma dalam Kesusasteraan Melayu Moden. Ratusan karya beliau merangkumi cerpen, novel, drama pentas, skrip televisyen, hinggalah kepada esei kritikan sarat dengan elemen eksperimentasi naratif. Karya-karya besar beliau seperti Ronjang, Klimaks, Kesesatan, dan Syajar bukan sekadar naskhah bacaan santai. Ia adalah medan di mana pendekatan intertekstual, metafiksyen, dan metasejarah diadun dengan begitu berseni. Beliau membawa sastera Melayu keluar daripada kepompong konvensional, menyuntik elemen falsafah pascamodenisme dan kritikan sosial tanpa sesekali meninggalkan nilai kemanusiaan serta kepekaan terhadap realiti sosiopolitik tanah air. Malah, sumbangan terbesar beliau turut melangkaui penulisan kreatif menerusi pengislamisasian teori sastera seperti Teori Teksdealisme yang terus dikaji dan dimanfaatkan di pelbagai universiti.
Buat warga FSSK, penganugerahan Sasterawan Negara ke-16 kepada Mana Sikana adalah kemuncak obor inspirasi. Ia menyuntik semangat baharu kepada para pensyarah, pengkaji, dan mahasiswa untuk terus berani meneroka gagasan baharu dalam dunia sains sosial dan kemanusiaan. Kejayaan ini membuktikan bahawa FSSK dan UKM terus relevan sebagai pasak keilmuan negara yang melahirkan tokoh-tokoh pembina peradaban.
Penobatan ini adalah lambang kejayaan falsafah yang sekian lama subur di bangku akademik universiti ini. Al-Fatihah buat Sang Sasterawan, Dr. Abdul Rahman Napiah; tintamu telah berhenti mengalir, namun gagasan pemikiranmu akan terus berdegup di dada setiap warga keilmuan kami.
Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia 43600, Bangi, Selangor, Malaysia
Hak cipta terpelihara @2025 | DCU,FSSK