Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi kerjasama antara mahasiswa Kelab Pengajian Melayu (KPM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan Festival Bitara Melayu (FESTIARA) 2026 yang berlangsung di Dewan Perdana FSSK.
Penganjuran FESTIARA 2026 bertujuan memupuk apresiasi terhadap bahasa, sastera dan budaya Melayu, di samping menjadi wadah yang menggabungkan dimensi akademik, seni dan komuniti dalam menyemai rasa cinta terhadap bahasa ibunda serta warisan bangsa.
Festival ini diserikan dengan pelbagai pengisian ilmiah dan kebudayaan termasuk Wacana Bitara Melayu yang disampaikan oleh Sasterawan Negara, YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, selaku Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka. Wacana bertajuk “Sastera Menyulam Kebitaraan: Suara Seorang Sasterawan Negara” itu mengetengahkan peranan sastera dalam membina identiti bangsa dan memperkukuh jati diri masyarakat Melayu.
Selain itu, FESTIARA 2026 turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti lain seperti pertandingan tulisan khat jawi, Dendangan Syair IPT 2026, pertandingan deklamasi puisi, pertandingan pameran alam Melayu dan banyak lagi aktiviti seni dan budaya yang melibatkan mahasiswa dari pelbagai universiti.
Dekan FSSK, Prof. Dr. Kadaruddin Aiyub, dalam ucapannya menegaskan bahawa penganjuran FESTIARA perlu terus diperkasa sebagai platform penting dalam memartabatkan kesusasteraan Melayu, budaya dan warisan bangsa agar terus kekal relevan merentas zaman. Beliau turut menyifatkan kehadiran Dato’ Dr. Anwar Ridhwan sebagai satu penghormatan besar kepada warga FSSK khususnya dalam usaha menyuburkan kecintaan terhadap dunia sastera dan bahasa Melayu.
Sementara itu, Dato’ Dr. Anwar Ridhwan dalam ucapan perasmiannya menekankan bahawa bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi, tetapi merupakan jiwa kepada identiti bangsa dan warisan Melayu. Menurut beliau, seni warisan seperti puisi, syair dan lagu-lagu irama tradisional bukan hanya berfungsi sebagai hiburan, malah menjadi lambang jati diri yang perlu terus dipelihara dan dipertahankan.
Dalam majlis tersebut, Prof. Dr. Kadaruddin Aiyub dan Dato’ Dr. Anwar Ridhwan turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Allahyarham Che Abdullah Che Ya, iaitu sahabat mereka dan pensyarah Bitara Melayu yang banyak menabur bakti dalam memperkasa bahasa, sastera dan warisan Melayu.
Secara keseluruhannya, penganjuran FESTIARA 2026 mencerminkan komitmen berterusan FSSK dalam memperkukuh pemerkasaan bahasa, sastera dan budaya Melayu sebagai warisan intelektual dan identiti bangsa yang perlu terus dipelihara oleh generasi masa hadapan.
Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia 43600, Bangi, Selangor, Malaysia
Hak cipta terpelihara @2025 | DCU,FSSK