Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), YBhg. Prof. Dr. Kadaruddin Aiyub telah menerima kunjungan hormat daripada TYT Naiyl M. Latypov, Duta Besar Persekutuan Rusia ke Malaysia dalam satu sesi pertemuan strategik yang berlangsung di FSSK UKM.
Kunjungan yang turut disertai oleh En. Andrey Potemkin, Pn. Mariiam Musaeva, Prof. Dr. Nor Fariza Mohd. Nor, Prof. Dr. Fazal Mohamed Mohamed Sultan dan Dr. Mohd Ikbal Mohd Huda tersebut bukan sekadar pertemuan rasmi tetapi merupakan platform penting dalam memperkukuh hubungan diplomasi akademik antara Malaysia dan Persekutuan Rusia, khususnya dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan hubungan antarabangsa.
Antara agenda utama yang dibincangkan ialah usaha memperkasa program akademik melalui cadangan memperkenalkan pembelajaran bahasa Rusia di Pusat Kajian Bahasa dan Linguistik (PKBL), FSSK UKM. Inisiatif tersebut dilihat berpotensi memperluas penguasaan bahasa asing dalam kalangan mahasiswa serta membuka peluang baharu dalam bidang hubungan antarabangsa dan komunikasi global.
Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan potensi kerjasama dalam program mobiliti pelajar, pertukaran tenaga pengajar termasuk pelaksanaan program pensyarah pelawat, serta kolaborasi penyelidikan yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua institusi. Perbincangan turut menyentuh isu-isu strategik dan hubungan antarabangsa semasa sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh jaringan akademik global.
FSSK sentiasa komited dalam menyediakan wadah terbaik kepada warga fakulti untuk memperluas horizon ilmu pengetahuan serta memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa. Kunjungan ini diharapkan dapat membuka lembaran baharu dalam memperkasa kecemerlangan akademik dan memperkukuh hubungan dua hala antara UKM dan institusi pendidikan di Persekutuan Rusia.
Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia 43600, Bangi, Selangor, Malaysia
Hak cipta terpelihara @2025 | DCU,FSSK