ALES FSSK UKM Perkukuh Pemahaman Diplomasi dan Hubungan Strategik Malaysia & Korea Selatan

Oleh: Muhammad Akmal Arfan

Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa telah menganjurkan FSSK Ambassador Lecture Series (ALES) Siri 3 bertempat di Dewan Perdana FSSK UKM.

Penganjuran siri syarahan ini bertujuan menjadi platform interaksi bersama dunia diplomatik melalui perkongsian pengalaman dan pandangan langsung daripada diplomat Malaysia serta wakil antarabangsa yang sedang berkhidmat di luar negara. Program ini turut memberi pendedahan kepada para peserta daripada pelbagai latar belakang akademik dan bukan akademik mengenai hubungan antara strategi, keselamatan dan diplomasi dalam landskap global yang sentiasa berubah.

Siri syarahan kali ini menampilkan Duta Besar Korea Selatan ke Malaysia, H.E. Mr. Yeo Seung-Bae yang menyampaikan syarahan bertajuk “Building a Shared Future in Korea Malaysia Relations”. Dalam perkongsiannya, beliau menekankan tiga elemen utama yang menjadi asas hubungan antara Malaysia dan Korea Selatan iaitu Trust, Strategy dan Co-prospering.

Menurut beliau, elemen Trust merujuk kepada hubungan kepercayaan yang telah dibina antara kedua-dua negara selama lebih empat dekad menerusi pelaksanaan Look East Policy. Sementara itu, Strategy pula merangkumi kerjasama strategik dalam aspek keselamatan dan pertahanan seperti kerjasama industri pertahanan, latihan ketenteraan bersama serta dialog dasar peringkat tinggi antara kedua-dua negara.

Beliau turut menjelaskan bahawa konsep Co-prospering membawa maksud kerjasama berorientasikan masa hadapan demi kemakmuran bersama dalam mendepani ketidaktentuan global. Kerjasama tersebut melibatkan pelbagai bidang strategik termasuk kecerdasan buatan (AI), transformasi digital, peralihan tenaga dan tindakan terhadap perubahan iklim.

Dekan FSSK, Prof. Dr. Kadaruddin Aiyub, dalam ucapan pembukaannya menzahirkan penghargaan atas kesudian Duta Besar Korea Selatan hadir ke FSSK. Beliau menyifatkan Korea Selatan sebagai sebuah negara yang muncul sebagai antara kisah kejayaan paling luar biasa di Asia dengan pembangunan ekonomi yang dinamik, kemajuan teknologi yang pesat, pengaruh budaya yang besar dan dihormati di peringkat global.

Beliau turut berharap agar syarahan tersebut dapat memberikan peluang berharga kepada mahasiswa dan komuniti akademik untuk memperoleh pemahaman secara langsung mengenai diplomasi, kerjasama serantau dan visi masa depan Korea Selatan. Menurut beliau, program seperti ini mampu membuka ruang kepada dialog yang lebih bermakna, memperkukuh kerjasama akademik serta mengeratkan hubungan antara rakyat kedua-dua negara.

Program ini juga diserikan dengan persembahan alat muzik tradisional oleh pelajar-pelajar daripada Seoul National University yang menampilkan keunikan seni dan budaya Korea Selatan yang secara langsung menambahkan lagi nilai pertukaran budaya dalam penganjuran ALES kali ini. Program ini turut dihadiri oleh H.E. Juraj Koudelka iaitu Duta Besar Republik Czech ke Malaysia.

Lokasi

Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia 43600, Bangi, Selangor, Malaysia

Waktu Operasi

Hak cipta terpelihara @2025 | DCU,FSSK

Translate »