Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (PMFSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Persidangan Kebangsaan Sarjana Muda (PERSADA) 2026 di Dewan Perdana Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) dengan penyertaan seramai 160 peserta daripada pelbagai institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.
Penganjuran PERSADA 2026 ini bertujuan memperkasakan budaya penyelidikan dan perkongsian ilmu dalam kalangan mahasiswa prasiswazah melalui pembentangan hasil kajian, pertukaran idea serta perbincangan ilmiah yang merentas disiplin pengajian. Persidangan ini malah turut menjadi platform bagi menggalakkan penglibatan mahasiswa dalam aktiviti akademik yang menyumbang kepada pembangunan ilmu pengetahuan dan pemikiran kritis.
Persidangan tersebut menyaksikan penyertaan delegasi antarabangsa daripada Universitas Padjadjaran (UNPAD), Indonesia yang menghantar seramai 40 peserta. Selain itu, program ini turut mendapat penyertaan daripada pelbagai universiti awam di Malaysia serta rakan strategik antarabangsa iaitu Universitas Airlangga, Surabaya dan Institut Pemerintahan Dalam Negeri (IPDN), Indonesia.
Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Dekan FSSK, Prof. Dr. Kadaruddin Aiyub yang menzahirkan rasa bangga terhadap komitmen mahasiswa daripada pelbagai institusi pengajian tinggi dan bidang pengkhususan yang berbeza.
Beliau berkata, kepelbagaian perspektif dan disiplin ilmu yang dibawa oleh para peserta telah menjadikan PERSADA 2026 sebagai medan akademik yang lebih dinamik dan bermakna, sekali gus menyumbang kepada perkembangan ilmu pengetahuan yang lebih menyeluruh.
Dalam ucapan penutupnya, beliau turut merakamkan penghargaan kepada delegasi daripada Universitas Padjadjaran (UNPAD), Indonesia atas penyertaan dan komitmen yang diberikan sepanjang persidangan berlangsung. Menurut beliau, kehadiran peserta antarabangsa bukan sahaja memperkukuh jaringan akademik serantau tetapi juga memperkayakan perbincangan ilmiah melalui perkongsian pengalaman dan perspektif global.
Pada majlis yang sama, seramai 12 orang peserta telah menerima pengiktirafan melalui Anugerah Pembentangan Terbaik dan Anugerah Extended Abstrak Terbaik sebagai penghargaan terhadap kecemerlangan penyelidikan dan kualiti pembentangan yang dipamerkan sepanjang persidangan.
Turut hadir ialah Timbalan Dekan Prasiswazah FSSK, Prof. Madya Dr. Ezarina Zakaria, Penasihat Program, Dr. Normalis Amzah serta Penolong Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FSSK, Puan Hasnoor Shima Ahmad Hassan.
Penganjuran PERSADA 2026 membuktikan komitmen berterusan FSSK dalam membudayakan penyelidikan di peringkat prasiswazah serta menyediakan ruang kepada mahasiswa untuk mengasah kemahiran pembentangan, memperluas jaringan akademik dan mengembangkan pemikiran secara kritis serta inovatif. Inisiatif ini selari dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang berdaya saing, berpengetahuan dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
| Bil. | Pembentang Terbaik |
|---|---|
| 1 | Muhammad Akmal Hazeem bin Mohd Rosni |
| 2 | Aisyah Nadzirah Binti Mubaraq |
| 3 | Khayra Iman Binti Muzaffar |
| 4 | Muhammad Nur Firdaus Bin Rosman |
| 5 | Siti Nurjihan Fahirah Binti Herman |
| 6 | Nur Mardeena Aisha Binti Mohd Nasir |
| 7 | Aufi Athaaya Asiyah (UNPAD) |
| 8 | Nur Adlina Binti Mohd Nazri |
| 9 | Alia Athirah Binti Mohamad Asri |
| Bil. | Extended Abstrak Terbaik |
|---|---|
| 1 | Mashitah binti Jamalludin |
| 2 | Nurfatin Nabilah binti Khanafi |
| 3 | Jiang Yutong |
Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia 43600, Bangi, Selangor, Malaysia
Hak cipta terpelihara @2025 | DCU,FSSK