Seminar Dan Simulasi Pilihan Raya Perkukuh Kefahaman Demokrasi Dalam Kalangan Pelajar

Oleh: Ezzatul Nadia

Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) melalui Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran (SEEDS) telah berjaya menganjurkan Seminar dan Simulasi Pilihan Raya yang berlangsung di Dewan Perdana FSSK.

Penganjuran seminar dan simulasi ini mencerminkan komitmen institusi pendidikan tinggi dalam memperkukuh kefahaman masyarakat, khususnya generasi muda, terhadap sistem demokrasi dan proses pilihan raya di Malaysia. Program ini memberi peluang kepada para pelajar untuk memahami dengan lebih dekat mekanisme pilihan raya, peranan pengundi, proses pencalonan, tatacara pengundian serta pengiraan undi. Pengalaman pembelajaran secara langsung ini mampu melahirkan warga yang lebih peka, berpengetahuan dan bertanggungjawab dalam melaksanakan hak serta tanggungjawab sebagai rakyat.

Sebagai sebuah institusi yang menjunjung kecemerlangan ilmu, FSSK bukan sahaja berperanan sebagai pusat pengajaran dan pembelajaran, malah turut menjadi peneraju dalam penghasilan, pengembangan dan pemindahan ilmu yang memberi manfaat kepada masyarakat serta negara. Penganjuran Seminar dan Simulasi Pilihan Raya ini membuktikan komitmen berterusan fakulti dalam memperkasakan pendidikan sivik dan demokrasi dalam kalangan generasi muda.

FSSK merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Prof. Dr. Mohd. Fuad Mat Jali selaku Ketua dan Penaung Projek Atlas Pilihan Raya Malaysia atas kepimpinan dan sokongan beliau dalam menjayakan program ini. Penghargaan turut dizahirkan kepada Dr. Mohd. Faisal Syam Abdol Hazis, Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR); Encik A. Azli Abd Rahim, Timbalan Pengarah Kanan, Pusat Bibliografi Negara yang mewakili Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia; serta Encik Mohd. Jefri Abu Hassan Vadival, Penolong Pengarah, Pusat Bibliografi Negara, Perpustakaan Negara Malaysia. Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada seluruh warga FSSK yang telah memberikan komitmen dan sokongan dalam memastikan kelancaran serta kejayaan program ini.

Program ini diharap dapat terus menjadi platform penting dalam meningkatkan kesedaran, kefahaman dan penghayatan terhadap amalan demokrasi, sekali gus menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang lebih berinformasi, berintegriti dan bertanggungjawab terhadap masa depan negara.

Lokasi

Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia 43600, Bangi, Selangor, Malaysia

Waktu Operasi

Hak cipta terpelihara @2025 | DCU,FSSK

Translate »