Majlis Anugerah Bata Merah 2026 Raikan Mahasiswa FSSK Sebelum Melangkah ke Dunia Profesional

Oleh: Muhammad Akmal Arfan

Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Majlis Anugerah Bata Merah 2026 di Dewan Perdana FSSK sebagai tanda penghargaan kepada mahasiswa tahun akhir yang bakal melangkah ke fasa latihan industri.

Majlis yang menjadi tradisi tahunan FSSK selama 4 tahun berturut – turut dan ini bukan sekadar sebuah acara penghargaan, malah menjadi medan untuk meraikan perjalanan akademik para mahasiswa sepanjang bergelar mahasiswa FSSK. Ia turut menjadi ruang untuk mengenang pengalaman, persahabatan, pencapaian serta pembentukan sahsiah yang telah dilalui sebelum menempuh alam pekerjaan yang sebenar.

Antara pengisian utama majlis ialah Sesi Inspirasi bertajuk “From Campus to Corporate: Future Careers & Leadership for Social Science Graduates” yang disampaikan oleh Puan Noor Farilla Abdullah, Group Chief Digital Officer, Bank Islam Malaysia Berhad. Melalui perkongsian tersebut, beliau menekankan kepentingan graduan melengkapkan diri dengan kemahiran insaniah, kepimpinan, komunikasi, kebolehsuaian serta literasi digital bagi menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang semakin dinamik dan kompetitif. Beliau turut berkongsi pengalaman serta pandangan mengenai ciri-ciri graduan yang mampu menyesuaikan diri dengan perubahan landskap industri dan menjadi pemimpin masa hadapan.

Majlis turut diserikan dengan penyampaian Anugerah Bata Merah yang mengiktiraf kecemerlangan mahasiswa dalam 24 kategori sebagai penghargaan terhadap pencapaian, kepimpinan dan sumbangan mereka sepanjang pengajian di FSSK.

Dalam amanatnya, Dekan FSSK, Prof. Dr. Kadaruddin Aiyub menyeru agar para mahasiswa memanfaatkan sepenuhnya peluang latihan industri sebagai platform untuk menimba pengalaman, membina keyakinan diri dan mengembangkan potensi masing-masing.

Beliau berkata, latihan industri merupakan medan terbaik untuk membuktikan bahawa mahasiswa FSSK bukan sahaja memiliki kecemerlangan akademik, tetapi mempunyai integriti, profesionalisme, nilai kemanusiaan serta semangat untuk terus menyumbang kepada masyarakat.

Beliau turut berpesan agar mahasiswa sentiasa berani mencuba, bersikap rendah hati dalam menuntut ilmu, menghormati setiap individu yang ditemui serta tidak mudah berputus asa apabila berdepan dengan cabaran. Menurut beliau, sikap dan nilai murni tersebut merupakan asas penting dalam membentuk graduan yang berkualiti dan mampu bersaing di peringkat global.

Penganjuran Majlis Anugerah Bata Merah 2026 mencerminkan komitmen berterusan FSSK dalam menghargai kecemerlangan mahasiswa serta mempersiapkan mereka menghadapi alam pekerjaan dengan ilmu, kemahiran dan nilai kepimpinan yang tinggi. Diharapkan pengalaman sepanjang pengajian dan latihan industri kelak akan menjadi asas kepada pembentukan graduan FSSK yang berdaya saing, berintegriti dan mampu memberi impak positif kepada masyarakat serta negara.

Lokasi

Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia 43600, Bangi, Selangor, Malaysia

Waktu Operasi

Hak cipta terpelihara @2025 | DCU,FSSK

Translate »