Seramai 193 pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) diraikan dalam Majlis Graduasi Sijil Profesional Kepimpinan PDRM Kalis Masa Depan Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah, Maktab PDRM, Kuala Lumpur. Program hasil kerjasama PDRM dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) itu merupakan usaha memperkukuh kompetensi kepimpinan dan pembangunan profesional warga kepolisan dalam menghadapi cabaran masa hadapan.
Majlis graduasi tersebut menyaksikan penyampaian sijil profesional kepada para graduan dalam empat kategori utama iaitu Sijil Profesional Penilai Kompetensi Kepimpinan Tertinggi Dalam Kepolisan, Sijil Profesional Kepimpinan Strategik Kepolisan, Sijil Profesional Kepimpinan Pengoperasian Kepolisan serta Sijil Profesional Kepolisan Moden Berteraskan Kecerdasan Buatan dan Keselamatan Siber.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi UKM, Prof. Dr. Ismanizan Ismail, berkata majlis graduasi itu bukan sekadar meraikan kejayaan menamatkan program profesional, malah mengiktiraf dedikasi, disiplin, ilmu dan kompetensi warga PDRM yang sentiasa berusaha meningkatkan keupayaan diri demi memberikan perkhidmatan terbaik kepada pasukan, masyarakat dan negara.
Menurut beliau, pembangunan kepimpinan kepolisan perlu menggabungkan kecekapan operasi dengan kefahaman sosial, pemikiran strategik dengan kebijaksanaan membuat keputusan, serta autoriti kepimpinan dengan integriti dan nilai kemanusiaan.
“Di sinilah FSSK berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan teori dengan amalan, penyelidikan dengan pengalaman lapangan serta ilmu akademik dengan realiti kepolisan,” katanya.
Beliau turut berharap agar para graduan dapat memanfaatkan ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang program untuk memperkukuh kepimpinan di tempat masing-masing.
“Bawalah pulang ilmu dan pengalaman daripada program ini ke tempat saudara dan saudari memimpin. Jadilah pemimpin yang tegas tetapi bijaksana, berani tetapi berintegriti, menguasai teknologi tetapi tidak kehilangan nilai kemanusiaan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pengurusan PDRM, YDH CP Datuk Mohamad Zainal bin Haji Abdullah, menegaskan bahawa pengalaman lapangan perlu diperkukuh dengan ilmu, analisis dan pemikiran strategik bagi melahirkan pemimpin kepolisan yang lebih matang dalam menilai situasi serta tepat dalam membuat keputusan.
“Dalam dunia kepolisan, pengalaman lapangan sememangnya menjadi asas yang penting. Namun, apabila pengalaman itu diperkukuh dengan ilmu, analisis dan pemikiran strategik, ia akan melahirkan pemimpin yang lebih matang dalam menilai keadaan serta lebih tepat dalam membuat keputusan. Inilah kesinambungan yang ingin kita bina, iaitu pengalaman yang membentuk kefahaman, ilmu yang mempertajam pertimbangan dan kebijaksanaan yang memandu tindakan,” katanya.
Beliau turut berharap agar inisiatif menerusi kerjasama PDRM dan UKM dapat menjamin pembangunan modal insan yang dinamik serta kalis masa depan, sekali gus menyokong pembentukan ekosistem kepolisan yang komprehensif dan efisien.
Majlis tersebut turut dihadiri Dekan FSSK, Prof. Dr. Kadaruddin Aiyub, CP Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan), Urus Setia Pejabat KPN, CP Dato’ Ahmad Dzaffir bin Mohd Yussof serta Timbalan Dekan Siswazah FSSK, Prof. Madya Dr. Azlan Abas.
Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia 43600, Bangi, Selangor, Malaysia
Hak cipta terpelihara @2025 | DCU,FSSK