Mahasiswa FSSK Raih Tempat Keempat dalam Cabaran Keusahawanan Sosial Belia FUSE x SERY 2026

Oleh: Muhammad Akmal Arfan

Empat mahasiswa Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya meraih tempat keempat dalam pertandingan pitching Program Cabaran Keusahawanan Sosial Belia: FUSE x SERY 2026 anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS), pada 17 Oktober lalu.

Pasukan yang mewakili UKM itu terlebih dahulu terpilih sebagai salah satu daripada 10 kumpulan terbaik sebelum bersaing dalam peringkat akhir pertandingan pitching di peringkat kebangsaan. Pencapaian tersebut melayakkan pasukan berkenaan membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000.

Program Cabaran Keusahawanan Sosial Belia: FUSE x SERY 2026 merupakan inisiatif pembangunan belia yang memberi penekanan kepada pengembangan idea dan penghasilan projek keusahawanan sosial berimpak. Pendekatan ini membuka ruang kepada golongan belia untuk meneroka penyelesaian terhadap cabaran masyarakat melalui idea dan inisiatif yang berpotensi memberikan manfaat kepada komuniti.

Kejayaan pasukan FSSK ini diwakili oleh empat mahasiswa Tahun 3 daripada Program Psikologi iaitu Aljazira bin Zainal, Nur Anis Elyana binti Mohd Supian, Puteri Nur Balqis binti Abdul Razak dan Nurul Haleeda Ilyanie binti Taju Noor Ariffin.

Pencapaian tersebut mencerminkan penglibatan mahasiswa FSSK dalam ruang pembangunan keusahawanan sosial di luar bilik kuliah, sekali gus memperlihatkan peluang untuk mengembangkan pengetahuan dan kemahiran menerusi penyertaan dalam pertandingan di peringkat kebangsaan.

Kejayaan ini diharapkan dapat menjadi dorongan kepada lebih ramai mahasiswa untuk meneroka bidang keusahawanan sosial, mengembangkan idea yang bersesuaian dengan keperluan masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan komuniti melalui inisiatif yang bermakna.

Lokasi

Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia 43600, Bangi, Selangor, Malaysia

Waktu Operasi

Hak cipta terpelihara @2025 | DCU,FSSK

Translate »