Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus memperkukuh kesedaran tentang kepentingan kesihatan mental menerusi penganjuran Program Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2026 yang berlangsung di Dewan Perdana FSSK.
Program anjuran Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia (PsiTra) bersama Klinik Psikologi dan Konsultasi (PKPK) itu bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga kesihatan mental dalam kalangan warga FSSK, warga UKM dan masyarakat umum. Selain itu, program ini menjadi platform untuk menggalakkan sokongan emosi dan intervensi awal, di samping memperkenalkan perkhidmatan kesihatan mental PKPK serta bidang pengkhususan psikologi yang ditawarkan oleh FSSK UKM.
Penyelaras PsiTra Klinik Psikologi dan Konsultasi, Dr. Hilwa Abdullah @ Mohd Nor, dalam ucapan alu-aluannya berkata penganjuran program seumpama itu penting bagi meruntuhkan stigma yang masih menghalang individu daripada mendapatkan bantuan psikologi.
“Melalui penganjuran program ini, kita berhasrat untuk meruntuhkan tembok stigma yang masih menghalang individu daripada mendapatkan bantuan psikologi. Kita ingin memupuk budaya yang melihat usaha mendapatkan bantuan bukan sebagai tanda kelemahan, tetapi sebagai satu bentuk keberanian, kesedaran kendiri dan langkah proaktif ke arah kehidupan yang lebih sejahtera,” katanya.
Sementara itu, dalam ucapan perasmian, Prof. Madya Dr. Ezarina Zakaria menegaskan bahawa usaha memelihara kesejahteraan mental mahasiswa perlu dilaksanakan secara berterusan melalui pelbagai bentuk sokongan yang bersesuaian.
Menurut beliau, pelbagai inisiatif, termasuk sokongan emosi, program ketahanan diri dan saringan minda sihat dalam kalangan pelajar, terus dilaksanakan bagi memastikan mahasiswa mendapat sokongan yang diperlukan ketika menghadapi cabaran kehidupan.
“Matlamat kita bukan sekadar melahirkan graduan yang cemerlang dari segi akademik, tetapi juga individu yang sihat mindanya, kental jiwanya dan tinggi kecerdasan emosinya,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa kesihatan mental merupakan aspek penting dalam kehidupan yang memerlukan perhatian dan komitmen bersama secara berterusan dan bukannya hanya diberikan perhatian ketika sambutan tahunan.
Antara pengisian utama program ialah forum bertajuk “Bila Suara Didengari: Pengalaman Sebenar, Perubahan Sebenar” yang membincangkan kepentingan memahami emosi serta pengalaman individu dalam menghadapi cabaran kesihatan mental.
Forum tersebut dikendalikan oleh Dr. Muhammad Ajib Abd Razak dengan menampilkan tiga ahli panel, iaitu Puan Nor Nismawati Mokhtar dari Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Siti Hazlina Alias dari Management and Science University (MSU) dan Dr. Rinikso Kartono dari Universitas Muhammadiyah Malang, Indonesia.
Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia 43600, Bangi, Selangor, Malaysia
Hak cipta terpelihara @2026 | DCU,FSSK