Simposium Kebudayaan Indonesia-Malaysia (SKIMXVIII 2024) telah berlangsung dengan jayanya pada 23 hingga 24 Oktober 2024 di Bangi, Selangor. Persidangan dwitahunan ini merupakan platform penting yang dianjurkan secara bergilir sejak tahun 1985 oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universitas Padjajaran (UNPAD), Indonesia. Dengan bertemakan Asia Tenggara: Cabaran Integrasi Inklusif, Pembangunan Manusia & Keamanan Serantau, SKIMXVIII 2024 memberi peluang kepada para ilmuwan dari kedua-dua negara untuk membentang & berkongsi hasil kajian mereka dalam pelbagai sub-tema yang relevan bertujuan untuk mewujudkan kesejahteraan dan kemakmuran serantau.
SKIMXVIII 2024 menjadi ruang untuk para akademik dan penyelidik berkumpul, saling bertukar idea dan membincangkan pelbagai isu seperti kebudayaan, sosioekonomi, serta pembangunan mampan di Asia Tenggara. Dengan sebanyak 120 kertas kerja yang dibentangkan, persidangan ini bukan sahaja memberi manfaat besar kepada komuniti akademik, tetapi juga kepada masyarakat serantau secara keseluruhan.
Selain itu, turut diadakan sesi forum khas bertajuk “Cabaran kepada hubungan Malaysia-Indonesia: Dalam Mencari Keamanan dan Kemakmuran Bersama”. Sesi khas ini membariskan pakar-pakar dari FSSK dan FISIP iaitu Prof. Dr. Ravichandran K. Dhakshinamoorthy dari UKM, Prof. Dr. Zarina@Zairina Othman dari UKM dan Prof. Dr. Ida Widianingsih dari UNPAD.
Prof. Dr. Kadaruddin Aiyub, Dekan FSSK, berharap agar SKIMXVIII 2024 tidak menjadi pertemuan terakhir antara UNPAD dan UKM dalam melebar luaskan lagi jalinan dan kerjasama akademik. Menurut beliau, simposium ini seharusnya menjadi titik permulaan bagi jalinan kerjasama yang lebih erat di antara kedua-dua institusi, yang berpotensi membentuk negara yang lebih maju dan makmur serta menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat. Dengan sambutan yang positif, persidangan ini diharapkan dapat terus membuka ruang kepada kolaborasi antara pelbagai institusi di Asia Tenggara, demi membina masa depan yang lebih baik di rantau ini.
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) komited untuk terus mengukuhkan hubungan akademik dan penyelidikan antara UKM dan UNPAD, selain membuka ruang kepada kolaborasi yang lebih luas yang melibatkan institusi-institusi lain di rantau Asia Tenggara.
Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia 43600, Bangi, Selangor, Malaysia
Hak cipta terpelihara @2025 | DCU,FSSK