Program Kembara Sujanaloka, yang dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) bersama Kelab Pengajian Melayu (BITARA) dan Kelab Linguistik (PKBL), telah berjaya mencipta sejarah dengan mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Books of Record (MBoR) bagi kategori Penyertaan Terbesar dalam Jelajah Kesedaran Alam Melayu. Program Kembara Sujanaloka terdiri daripada empat sub-program utama iaitu Jelajah Anak Watan, Bicara Berirama, Kesenian Kebangsaan, dan Pertandingan Malam Buana Wangsa.
Pengiktirafan ini diberikan setelah program tersebut berjaya melengkapkan program jelajahnya selama satu minggu, dengan menarik penyertaan sebanyak 9,321 peserta. Peserta-peserta program ini terdiri daripada pelajar sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pendidikan tinggi (IPT). Pada majlis tersebut, wakil MBoR, Encik Edwin Yeoh Tiong Chin, telah menyerahkan sijil pengiktirafan MBoR kepada Dekan FSSK, YBhg. Prof. Dr. Kadaruddin Aiyub dan disaksikan oleh Pn. Hasnoor Shima Ahmad Hassan, Penolong Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FSSK. .
Prof. Dr. Kadaruddin mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur program kerana berjaya menghasilkan program yang sangat positif terhadap budaya kesenian dan warisan negara.
Tambahan beliau lagi, semasa berlangsungnya program Jelajah Anak Watan ini, ahli jawatankuasa telah mengunjungi sekolah-sekolah di seluruh daerah Hulu Langat untuk memberikan ceramah bertajuk “Kesedaran berkaitan Alam Melayu” kepada para pelajar. Beliau menambah bahawa ini selari dengan matlamat universiti watan yang amat menekankan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan nilai perpaduan antara satu sama lain.
Selain itu, program Bicara Berirama, Kesenian Kebangsaan, serta Pertandingan Malam Buana Wangsa juga turut disertai oleh pelajar sekolah menengah, sekolah rendah, serta pelajar IPT di sekitar Lembah Klang. Pertandingan Malam Buana Wangsa merupakan pertandingan nyanyian lagu Melayu Klasik yang diadakan secara berpasangan, menambahkan lagi keunikan dan daya tarikan program ini.
Dengan pencapaian ini, Program Kembara Sujanaloka bukan sahaja mengukuhkan kedudukan UKM dalam arena pendidikan dan kebudayaan, tetapi juga memupuk semangat cintakan budaya dan warisan negara dalam kalangan generasi muda.
Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia 43600, Bangi, Selangor, Malaysia
Hak cipta terpelihara @2025 | DCU,FSSK