Konvensyen Psikologi Koreksional Kebangsaan 2024

Oleh: Muhammad Akmal Arfan

Jabatan Penjara Malaysia dengan kerjasama Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan (PsiTra) FSSK UKM telah menganjurkan Konvensyen Psikologi Koreksional Kebangsaan 2024 yang berlangsung dari 14 hingga 15 Oktober 2024 di Dewan Perdana FSSK, Universiti Kebangsaan Malaysia. 

Dengan mengangkat tema “Psikologi Koreksional Membangun Peradaban Budaya Kemanusiaan” konvensyen ini menekankan kepentingan psikologi koreksional sebagai asas bagi masyarakat yang lebih berperikemanusiaan dan harmoni. Konvensyen tahunan ini diadakan bersempena dengan sambutan Bulan Kaunseling Negara dan majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Dalam Negeri, YBhg. Datuk Dr. Abdul Gapar bin Haji Abu Bakar. Konvensyen ini telah berjaya mengumpulkan pengamal psikologi/kaunseling dalam bidang psikologi koreksional dari pelbagai agensi seperti Jabatan Penjara Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), serta ahli akademik dari UKM.

Tujuan utama konvensyen ini adalah sebagai ruang pertemuan strategik untuk para pengamal kaunseling dan psikologi berkongsi kepakaran, pengalaman dan pengetahuan terkini dalam pengurusan kes di institusi penjara dan agensi keselamatan. Perkongsian juga turut meliputi pelbagai dimensi psikologi dan pemulihan, serta pendekatan intervensi yang lebih efektif untuk mempertingkatkan kesejahteraan klien atau bekas banduan.

Selain itu, konvensyen ini turut memperkasakan pegawai dan kakitangan dengan pengetahuan serta kemahiran baharu untuk menguruskan kes dan klien dengan lebih berkesan. Dalam bidang psikologi koreksional, pendekatan berkualiti dan intervensi yang tepat amat diperlukan untuk mengurangkan risiko berulangnya tingkah laku negatif dalam kalangan bekas banduan dan klien. Dengan latihan dan perbincangan yang dikendalikan dalam konvensyen ini, peserta diharap dapat meningkatkan kesedaran dan pemahaman terhadap pendekatan psikologi koreksional yang inovatif dan berkesan seiring dengan matlamat tema konvensyen iaitu membangunkan budaya kemanusiaan yang lebih baik dalam masyarakat.

Lokasi

Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia 43600, Bangi, Selangor, Malaysia

Waktu Operasi

Hak cipta terpelihara @2025 | DCU,FSSK

Translate »