SAKURAYA FSSK Perkukuh Jaringan Kerjasama Erat Jepun-Malaysia

Oleh: Muhammad Akmal Arfan

Jaringan penyelidikan FSSK di peringkat antarabangsa terutamanya dengan negara Jepun kini boleh dikatakan sudah berada pada satu tahap yang membanggakan. Hal ini dibuktikan melalui jumlah perolehan dana antarabangsa terkumpul berkaitan dengan Jepun berjumlah hampir RM1.8 juta daripada pelbagai sumber termasuk UKM sendiri, The Japan Foundation, Sumitomo Foundation, Toshiba International Foundation, Tokyo Center for Economic Research (TCER), Japan International Cooperation Agency (JICA), dan organisasi- organisasilain. Penyelidikan ini meliputi bidang-bidangseperti bahasa, kesusasteraan, politik, hubungan antarabangsa, komunikasi, sejarah, dan psikologi. Dana ini bukan sahaja membantu mengukuhkan lagi hubungan antara Malaysia dan Jepun tetapi juga memperkaya pengetahuan dan pemahaman pelajar serta penyelidik dalam pelbagai aspek budaya dan masyarakat Jepun.

Menyedari impak positif dan jangkauan ruang kerjasama yang lebih erat pada masa hadapan, Pusat Sosiobudaya Jepun-Malaysia atau SAKURAYA telah ditubuhkan bagi merancakkan lagi aktiviti penyelidikan, jaringan kerjasama dan pengalaman pembelajaran yang berkaitan dengan sosio budaya Jepun dan Malaysia. Objektif utama penubuhan SAKURAYA adalah untuk menjadikan FSSK sebagai hab bagi para sarjana dan penyelidik Jepun dan Malaysia terutamanya di dalam bidang sains sosial untuk berkongsi pengetahuan dan kepakaran mereka. Selain itu, SAKURAYA juga dilihat mampu untuk menggalakkan persefahaman antara sarjana Jepun dan Malaysia serta pelajar secara khususnya dalam bidang sains sosial dan secara tidak langsung mengembangkan hubungan Malaysia dan Jepun daripada aspek teknologi dan rangka kerja ekonomi kepada rangka kerja sosiobudaya. 

Baru-baru ini SAKURAYA telah menerima lawatan rasmi daripada Tuan Saito Yukiyoshi, Setaiusaha Pertama (Atase Pendidikan) Kedutaan Besar  Jepun di Malaysia. Kehadiran delegasi berkenaan telah disambut oleh YBhg. Prof. Dr. Kadaruddin Aiyub, Dekan FSSK bersama-sama dengan felo penyelidik SAKURAYA bertempat di Pusat Kajian Bahasa & Linguistik (PKBL).

Menurut Prof. Dr. Kadaruddin Aiyub, kerjasama erat FSSK dan Jepun juga merangkumi aktiviti seperti program mobiliti dan pertukaran pelajar FSSK selama enam bulan hingga satu tahun ke universiti-universiti di Jepun seperti Tokyo University of Foreign Studies, Tsukuba University, Sofia University, Tokai University, Gifu University, dan lain-lain lagi. Setiap semester, pelajar dihantar kenegara Jepun melalui program ini, dan FSSK juga turut menerima pelajar-pelajar Jepun untuk merasai pengalaman pembelajaran dan budaya di Malaysia.

Adalah diharapkan dengan penubuhan SAKURAYA kerjasama erat antara FSSK dan Jepun akan terus berkembang maju di masa hadapan demi kelangsungan generasi pewaris anak watan UKM. 

SENARAI FELO PENYELIDIK SAKURAYA

  • Dr. Normalis Amzah (PKBL)
  • Puan Aznur Aisyah Abdullah (PKBL)
  • Dr. Mohd Ikbal Mohd Huda (SPHEA)
  • Prof. Madya Dr. Nor Fariza Mohd Nor (PKBL)
  • Prof. Madya Dr. Karim Harun (BITARA MELAYU)
  • Prof. Madya Dr. Mawar Safei (BITARA MELAYU)
  • Prof. Madya Dr. Muhamad Takiyuddin Ismail (SPHEA)
  • Prof. Madya Dr. Abdul Latiff Ahmad (MENTION) 

Lokasi

Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia 43600, Bangi, Selangor, Malaysia

Waktu Operasi

Hak cipta terpelihara @2025 | DCU,FSSK

Translate »