Kerjasama Serantau FSSK UKM dan USU

Oleh: Muhammad Akmal Arfan

Delegasi dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diketuai oleh Prof. Dr. Kadaruddin Aiyub, telah mengadakan lawatan penanda arasan latihan industri antarabangsa dan lawatan balas kerjasama ke Fakultas Ilmu Sosial Ilmu Politik (FISIP) dan Fakultas Ilmu Budaya (FIB) di Universitas Sumatera Utara (USU), Indonesia.

Kehadiran delegasi dari UKM ini disambut dengan mesra oleh wakil rektor Universitas Sumatera Utara, Prof. Dr. Poppy Anjelisa Zaitun Hasibuan di pejabat rektor USU sebelum berpecah ke Fakultas Ilmu Sosial Ilmu Politik dan Fakultas Ilmu Budaya untuk sesi perbincangan yang lebih mendalam. Di fakultas-fakultas ini, objektif utama perbincangan adalah mengenai latihan industri antarabangsa dan penilaian kerjasama yang telah terjalin.

Fakultas Ilmu Budaya (FIB) USU telah menerima sekitar 10 orang pelajar dari FSSK UKM yang sedang menjalani latihan industri di sana. Lawatan ini bertujuan meninjau keadaan pelajar-pelajar tersebut, khususnya mengenai skop kerja latihan industri yang diberikan, tahap hospitaliti, kebajikan, serta penginapan yang disediakan oleh pihak USU. Lawatan ini juga menjadi kayu ukur untuk kedua-dua fakulti dalam menjayakan latihan industri antarabangsa yang melibatkan pelajar dari kedua-dua institusi.

Selain itu, lawatan ini juga membuka pintu kepada kerjasama penyelidikan antara pensyarah dari kedua-dua universiti. Perbincangan turut menjurus kepada peluang melanjutkan pengajian di peringkat siswazah bagi pelajar dan pensyarah FIB USU. 

Lawatan ini diakhiri dengan majlis menandatangani dokumen persefahaman (MoU) antara FSSK UKM dan FIB USU. MoU ini merangkumi kerjasama dalam latihan industri antarabangsa pelajar serta perbincangan mengenai lawatan penanda arasan, yang diharapkan dapat memperkukuh hubungan akademik dan memberi manfaat kepada kedua-dua institusi.

Lokasi

Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia 43600, Bangi, Selangor, Malaysia

Waktu Operasi

Hak cipta terpelihara @2025 | DCU,FSSK

Translate »