Sesiapa yang memandang wajah figura insan hebat ini pasti bersetuju beliau adalah seorang insan yang mudah didekati, peramah dan memiliki aura keibuan yang sangat penyayang. Itulah mantan Timbalan Dekan (Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat) FSSK, Prof. Dr. Sity Daud yang lebih mesra disapa sebagai ‘Mummy’ di FSSK. Prof. Sity telah tamat menggalas tugas jawatan tersebut pada 31 Disember 2024 yang lalu dan kini digantikan oleh Prof. Madya Dr. Suhaimi Mohamad. Majlis penyerahan tugas telah berlangsung pada 20 Februari 2025 dan disempurnakan oleh Dekan FSSK, YBhg. Prof. Dr. Kadaruddin Aiyub dan disaksikan oleh ahli-ahli pengurusan FSSK.
Berdasarkan rekod, Prof. Sity Daud telah berkhidmat di UKM hampir 33 tahun dan selama tempoh itu beliau telah memegang pelbagai jawatan pentadbiran di FSSK selama lebih 15 tahun. Antara jawatan-jawatan pentadbiran yang pernah disandang oleh beliau adalah sebagai Pengerusi Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa (SPHEA), Ketua Kualiti FSSK dan terakhir sekali berkhidmat sebagai Timbalan Dekan (Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat) bermula 1 Januari 2022. Selain di UKM, beliau juga pernah menyandang jawatan di peringkat kebangsaan selaku auditor MS ISO 9001, International Register of Certificated Auditor (2011) dan kini dilantik sebagai Presiden Persatuan Sains Sosial Malaysia.
Menurut Prof. Sity, kecekalan beliau di dalam aspek pentadbiran segalanya bermula dari bawah dan guru yang terbaik adalah pengalaman. Beliau sentiasa menghargai dan bersyukur kerana sentiasa dikurniakan pasukan pentadbiran yang baik. Kini, Prof. Dr. Sity berhasrat untuk mengadakan sesi Syarahan Perdana pada tahun ini. Fakulti menzahirkan penghargaan yang tidak terhingga kepada Prof. Dr. Sity Daud dan semoga terus sentiasa menyumbang bakti kepada fakulti tercinta ini.
Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia 43600, Bangi, Selangor, Malaysia
Hak cipta terpelihara @2025 | DCU,FSSK