Hari Ergonomik 2025 Serlah Inovasi Rekabentuk Pelajar Psikologi FSSK

Oleh: Muhammad Akmal Arfan

Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia menerusi Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia (PsiTra) telah menganjurkan Hari Ergonomik 2025 yang menghimpunkan pelajar tahun akhir Program Psikologi bagi mempersembahkan idea dan inovasi dalam bidang reka bentuk produk berasaskan prinsip ergonomik.

Program ini memberi tumpuan kepada peningkatan kesedaran terhadap kepentingan ergonomik di tempat kerja, di samping berfungsi sebagai platform pembelajaran aktif yang menggalakkan kreativiti, kefungsian serta keselamatan dalam ciptaan pelajar. Sebanyak 24 rekaan produk ergonomik telah dipersembahkan yang masing-masing dirangka untuk memenuhi keperluan asas seperti keselesaan pengguna, keselamatan fizikal dan keberkesanan fungsi.

Kehadiran juri jemputan daripada pihak luar telah memberikan nilai tambah yang signifikan dalam sesi penilaian dan maklum balas terhadap hasil kerja pelajar. Interaksi ini secara tidak langsung membuka perspektif baharu kepada pelajar dalam memahami aplikasi praktikal reka bentuk produk di alam pekerjaan sebenar.

Penganjuran Hari Ergonomik 2025 mencerminkan komitmen berterusan FSSK dalam melahirkan graduan psikologi yang bukan sahaja berpengetahuan tinggi tetapi juga mampu mengaplikasikan ilmu dalam konteks reka bentuk persekitaran kerja yang lebih manusiawi dan responsif terhadap keperluan pengguna.

Lokasi

Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia 43600, Bangi, Selangor, Malaysia

Waktu Operasi

Hak cipta terpelihara @2025 | DCU,FSSK

Translate »