Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) meraikan mahasiswa tahun tiga melalui penganjuran Majlis Bata Merah 2025 iaitu sebuah majlis simbolik yang menghimpunkan kesemua mahasiswa Tahun Tiga daripada kesemua 12 program prasiswazah di FSSK dalam satu pertemuan yang penuh inspirasi bertempat di Dewan Perdana FSSK.
Majlis ini diadakan sebagai tanda penghargaan terhadap perjalanan akademik para pelajar sepanjang tiga tahun berada di FSSK, di samping mengukuhkan hubungan silaturrahim antara mahasiswa pelbagai program sebelum melangkah ke fasa baharu kehidupan khususnya latihan industri dan alam kerjaya.
Majlis diserikan dengan perkongsian inspirasi oleh Puan May Chong, Pengarah Hunters International yang memberikan amanat bermakna kepada para pelajar berkaitan realiti dunia pekerjaan, bermula daripada proses pencarian kerja hingga ke alam pekerjaan sebenar. Pengalaman luas beliau dalam dunia korporat telah membuka dimensi pemikiran baharu kepada mahasiswa dalam menyiapkan diri mereka sebagai graduan yang berdaya saing dan bersedia dari segi profesionalisme dan etika.
Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Prof. Dr. Kadaruddin Aiyub, dalam ucapan beliau menyeru agar para pelajar sentiasa mengekalkan adab dan menjaga tingkah laku pada setiap masa, terutamanya apabila melangkah ke alam pekerjaan. “Jadilah insan yang memberi manfaat kepada masyarakat, dan jangan pernah lupa akar akademik anda di FSSK. Apabila kejayaan telah anda capai kelak, kembalilah ke fakulti ini sebagai penyumbang kepada masa depan yang lebih baik untuk kita semua dan untuk negara,” ujar beliau.
Simbolik “Bata Merah” yang digunakan dalam majlis ini melambangkan susunan usaha, kekuatan asas, dan nilai kebersamaan yang telah dibina oleh mahasiswa sepanjang pengajian mereka. Ia juga menjadi manifestasi harapan agar setiap graduan FSSK akan terus membina kecemerlangan satu demi satu seperti susunan bata yang teguh membentuk dinding kejayaan.
Majlis ini bukan sahaja menjadi penutup kepada satu fasa penting dalam perjalanan akademik, tetapi turut meninggalkan kenangan manis dan semangat berterusan kepada para pelajar untuk terus melakar kejayaan sebagai alumni FSSK yang membanggakan.
Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia 43600, Bangi, Selangor, Malaysia
Hak cipta terpelihara @2025 | DCU,FSSK