Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Majlis Apresiasi Watan FSSK di Perkarangan Chow Kit FSSK sebagai simbolik sambutan kehadiran pelajar baharu ke fakulti.
Dengan bertemakan “Kisah Klasik untuk Masa Hadapan”, program ini memberi mesej bahawa kisah-kisah klasik sarat dengan pengajaran dan inspirasi yang boleh dijadikan pegangan oleh mahasiswa dalam melangkah ke hadapan sekaligus memupuk jati diri yang utuh sebagai generasi penerus bangsa.
Majlis telah disempurnakan dengan kehadiran Naib Canselor UKM, Prof. Dr. Sufian Jusoh yang dalam ucapannya menyeru para pelajar baharu untuk memanfaatkan sepenuhnya pengalaman universiti sebagai landasan membina masa depan.
“Carilah juga ilmu selain daripada ilmu yang diberikan oleh pensyarah anda, jadikan universiti ini sebagai asas untuk anda terus mengembangkan potensi anda,” katanya.
Sementara itu, Dekan FSSK, Prof. Dr. Kadaruddin Aiyub dalam ucapannya menekankan bahawa pentingnya mahasiswa untuk mengekalkan semangat belajar sepanjang hayat, menjaga adab dan membina sahsiah unggul sepanjang bergelar pelajar di universiti.
“Universiti bukan sahaja medan untuk mencari ilmu, tetapi juga ruang untuk membentuk diri menjadi insan yang lebih matang, berdisiplin dan berdaya saing. Saya berharap mahasiswa baharu akan menjadikan kisah-kisah klasik sebagai panduan untuk terus melangkah dengan yakin ke masa depan,” ujarnya.
Acara ini turut dimeriahkan dengan persembahan daripada pelajar baharu FSSK yang menzahirkan kreativiti serta semangat mereka dalam meraikan kehadiran sebagai sebahagian daripada warga fakulti.
Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia 43600, Bangi, Selangor, Malaysia
Hak cipta terpelihara @2025 | DCU,FSSK