Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Pusat Pengurusan Risiko, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (ROSH-UKM) telah menganjurkan Syarahan Perdana Prof. Ts. Dr. Kadir Arifin bertajuk “Sifar Kemalangan di Tempat Kerja: Realiti @ Fantasi” di Bilik Senat, Aras 5 Bangunan Canselori, UKM.
Syarahan ini memberi tumpuan kepada kepentingan membudayakan amalan keselamatan di tempat kerja, mengenal pasti punca kemalangan serta memperkenalkan pendekatan intervensi yang berkesan ke arah mencapai matlamat sifar kemalangan di Malaysia.
Dalam syarahannya, Prof. Kadir mengetengahkan Teori Kadir iaitu teori faktor kemalangan pekerjaan yang dibangunkan hasil penyelidikan beliau selama lebih dua dekad dalam bidang keselamatan pekerjaan. Beliau turut menggariskan konsep “Sifar Kemalangan” sebagai satu visi nasional yang boleh dicapai melalui komitmen organisasi, latihan berterusan dan pengamalan budaya kerja selamat di setiap peringkat.
Turut menjadi tumpuan dalam syarahan ini ialah pelancaran Video Keselamatan Pekerjaan UKM yang pertama, sebagai inisiatif universiti untuk memperkukuh kesedaran warga kerja terhadap aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
Naib Canselor UKM, Prof. Dr. Sufian Jusoh dalam ucapannya memuji dedikasi dan sumbangan Prof. Kadir dalam bidang keselamatan pekerjaan yang banyak memberi impak terhadap pengurusan risiko dan kesejahteraan warga kampus. Beliau turut menyampaikan latar belakang akademik dan perjalanan kerjaya Prof. Kadir sebagai contoh teladan kepada warga universiti.
Majlis turut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohamad Abd. Razak, Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Ts. Dr. Faizal Mohamed serta Dekan FSSK, Prof. Dr. Kadaruddin Aiyub.
Dalam syarahan tersebut, Prof. Kadir turut menzahirkan penghargaan kepada individu yang telah banyak membimbing dan memberi inspirasi dalam perjalanan akademiknya termasuk Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin serta Prof. Dr. Kadaruddin Aiyub yang merupakan penyelia beliau sewaktu pengajian sarjana muda.
Majlis turut diserikan dengan pameran pencapaian dan perjalanan akademik Prof. Kadir yang memaparkan sumbangan beliau dalam bidang penyelidikan, penerbitan buku serta inovasi keselamatan pekerjaan.
Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia 43600, Bangi, Selangor, Malaysia
Hak cipta terpelihara @2025 | DCU,FSSK