Telaah UKM Siri 3 Anjuran PTSL Kupas Karya Pentadbiran Kewangan Kolonial Johor

Oleh: Muhammad Akmal Arfan

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meneruskan tradisi keilmuan melalui penganjuran Telaah UKM Siri 3 yang diadakan di Dewan Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK). Program ini merupakan anjuran Perpustakaan Tun Sri Lanang (PTSL) dengan kerjasama Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa (SPHEA), FSSK.

Sesi kali ini menampilkan telaah terhadap karya ilmiah berjudul Pentadbiran Kewangan Kolonial di Johor hasil tulisan Prof. Dr. Ichiro Sugimoto dari Soka University, Jepun. Buku ini menyingkap dasar ekonomi kolonial yang membentuk landskap pentadbiran negeri Johor serta memberi perspektif mendalam terhadap peranan ekonomi dan kewangan dalam konteks sejarah penjajahan.

Program berintelektual ini menampilkan penulis buku berkenaan, Prof. Dr. Ichiro Sugimoto, Dekan Faculty of International Liberal Art, Soka University serta Prof. Dr. Sufian Jusoh, Naib Canselor UKM, selaku pembicara utama. Turut hadir Dr. Mohd Ikbal Mohd Huda, Pengerusi SPHEA, FSSK UKM, yang bertindak sebagai moderator sesi.

Dalam telaahnya, Prof. Dr. Sufian Jusoh menekankan kepentingan mempelajari sesuatu dari sejarah untuk membina keupayaan negara masa kini, khususnya dalam aspek ekonomi dan daya tahan sumber makanan.

“UKM perlu menjadi universiti pengeluar, sama ada dalam bidang teknologi mahupun pengeluaran makanan seperti sayur-sayuran dan hasil pertanian lain. Melalui pengajaran daripada sejarah, kita melihat kesan apabila negara terlalu bergantung kepada import makanan sekiranya berlaku musibah atau konflik, kita mungkin berdepan kekurangan sumber,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa buku ini menjadi cerminan penting terhadap keperluan membangunkan modal insan dan kepakaran tempatan, sejajar dengan cabaran semasa negara. Antara dapatan yang diketengahkan dalam buku tersebut ialah situasi kerajaan Johor suatu ketika dahulu yang berdepan hutang besar sehingga terpaksa mendapatkan bantuan penasihat kewangan Inggeris untuk menstabilkan pengurusan ekonomi negeri.

Selain itu, buku tersebut turut memperincikan bahawa Johor pernah muncul sebagai antara negeri terkaya pada awal abad ke-20 di rantau ini dengan hasil pendapatan 50 juta, mencerminkan kekuatan ekonomi tempatan yang harus dijadikan inspirasi dalam membangunkan dasar ekonomi negara berasaskan keupayaan sendiri.

Penganjuran Telaah UKM Siri 3 ini membuktikan komitmen UKM dalam memperkukuh budaya ilmu dan wacana akademik selaras dengan aspirasi membudayakan pembacaan dan memperkasa wacana ilmu dengan gagasan intelektual YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Lokasi

Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia 43600, Bangi, Selangor, Malaysia

Waktu Operasi

Hak cipta terpelihara @2025 | DCU,FSSK

Translate »