Majlis Watikah Pelantikan PMFSSK dan Kelab-Kelab FSSK Sesi 2025/2026

Oleh: Nur Syaqirin

Buat julung kalinya, Sekretariat Hal Ehwal Pelajar (HEPA) Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), UKM telah menganjurkan Majlis Watikah Pelantikan Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (PMFSSK) serta kelab-kelab di bawah naungannya pada 6 November 2025 bertempat di Dewan Perdana, FSSK.

Majlis penuh bermakna ini diadakan bagi meraikan pelantikan barisan kepimpinan mahasiswa baharu sesi 2025/2026 yang akan meneruskan legasi kecemerlangan mahasiswa FSSK dalam kepimpinan, kesukarelawanan dan pengurusan program. Seramai 292 orang ahli terdiri daripada kepimpinan PMFSSK dan kelab-kelab FSSK telah menerima watikah pelantikan masing-masing dalam suasana yang penuh semangat dan kebanggaan.

Watikah pelantikan telah disempurnakan oleh Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Prof. Dr. Kadaruddin Ayub, yang turut menzahirkan sokongan penuh fakulti terhadap setiap aktiviti dan program anjuran PMFSSK serta kelab-kelab FSSK. Beliau menegaskan bahawa fakulti akan sentiasa menjadi tulang belakang kepada usaha mahasiswa dalam memupuk kepimpinan yang berwibawa, progresif dan berjiwa besar.

Penganjuran sulung ini menjadi simbol keutuhan dan kebersamaan antara pihak fakulti, penasihat kelab serta mahasiswa, di bawah koordinasi Sekretariat HEPA FSSK yang sentiasa komited memperkasa barisan kepimpinan pelajar fakulti.

Sebagai penutup, majlis turut menitipkan pesanan yang penuh makna buat seluruh kepimpinan pelajar:

“Menjadi pemimpin bukan untuk mencari megah. Apabila menjadi pemimpin, tugasmu menjadi lebih payah. Jangan mengikut resam ketam yang menyuruh anaknya berjalan betul, kerana yang berjalan betul itu bukan kaki, tetapi hati nurani.”

Dengan kekuatan seramai hampir 300 kepimpinan pelajar, FSSK terus melangkah maju sebagai fakulti yang bukan sahaja melahirkan mahasiswa cemerlang dalam akademik, tetapi juga pemimpin yang berintegriti, berjiwa masyarakat dan berdaya saing tinggi.

Lokasi

Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia 43600, Bangi, Selangor, Malaysia

Waktu Operasi

Hak cipta terpelihara @2025 | DCU,FSSK

Translate »