Majlis Apresiasi Graduan Doktor Falsafah & Sanjungan Budi Profesor Emeritus Fssk

Oleh: Ezzatul Nadia Idris

Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia, melakar satu lagi sejarah bermakna menerusi penganjuran Majlis Apresiasi Graduan Doktor Falsafah dan Sanjungan Budi Profesor Emeritus, sebagai penghargaan kepada kecemerlangan akademik dan jasa bakti tokoh ilmuwan fakulti.  

Majlis penuh gemilang ini mengiktiraf seramai 74 orang graduan Doktor Falsafah (PhD) bagi tahun 2025, termasuk 13 graduan Graduate on Time (GOT) yang berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh pengajian yang ditetapkan. Kejayaan ini tidak mungkin tercapai tanpa komitmen, kecekalan dan dedikasi luar biasa, baik daripada para graduan mahupun barisan penyelia yang telah membimbing dan menyokong sepanjang perjalanan akademik mereka.

Majlis ini turut mengangkat pencapaian Dr. Zeeshan Khan, penerima Anugerah Tesis Cemerlang, hasil penyeliaan mantap oleh Prof. Dr. Mohammad Rahim Kamaluddin, Prof. Madya Dr. Jamiah Manap dan Dr. Surendran A/L Rajaratnam. Anugerah ini menjadi bukti bahawa kualiti penyelidikan dan penulisan tesis yang tinggi dapat memberi sumbangan bermakna kepada ilmu dan masyarakat.

Lebih istimewa, majlis ini turut menyaksikan penganugerahan Profesor Emeritus kepada dua tokoh akademik terkemuka FSSK iaitu Profesor Emeritus Dato’ Dr. Imran Ho Abdullah dan Profesor Emeritus Datin Dr. Ruzy Suliza Hashim. Kedua-dua tokoh ini telah memberikan sumbangan luar biasa dalam bidang pengajaran, penyelidikan, kepimpinan akademik dan pembangunan fakulti. Gelaran ini adalah manifestasi penghargaan tertinggi atas khidmat bakti mereka dalam mengangkat martabat ilmu dan memperkasa peranan institusi pendidikan tinggi di persada nasional dan antarabangsa.

Majlis ini bukan sekadar meraikan kejayaan individu, tetapi turut mencerminkan iltizam FSSK dalam membudayakan kecemerlangan, memperkukuh ekosistem akademik yang mampan, serta menjunjung nilai keilmuan yang berterusan. Semoga kejayaan yang diraikan ini menjadi inspirasi kepada seluruh warga FSSK untuk terus melakar kecemerlangan dan menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ilmu, masyarakat dan negara.  

Setinggi-tinggi tahniah dan syabas diucapkan!

Lokasi

Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia 43600, Bangi, Selangor, Malaysia

Waktu Operasi

Hak cipta terpelihara @2025 | DCU,FSSK

Translate »