1275 Graduan Fakulti Sains Sosial Dan Kemanusiaan Dirai Dalam Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia Ke-53

Oleh: Ezzatul Nadia Idris

Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada 1,275 graduan bersempena Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Ke-53. Penganugerahan ini merupakan manifestasi komitmen, ketabahan dan kecemerlangan para graduan sepanjang tempoh pengajian mereka di UKM. Majlis Konvokesyen Ke-53 ini telah menyaksikan penganugerahan kepada 74 graduan Doktor Falsafah, 303 graduan Sarjana, 10 graduan Sijil Pasca, dan 962 graduan Sarjana Muda dari pelbagai disiplin di bawah FSSK. Angka ini bukan sahaja mencerminkan skala dan keupayaan fakulti dalam melahirkan tenaga mahir, malah menunjukkan keberhasilan program akademik yang dirangka secara komprehensif dan selari dengan keperluan semasa negara.

Pada tahun ini, para graduan FSSK telah diraikan dalam dua sesi utama konvokesyen. Sidang Tujuh yang telah disempurnakan oleh Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin ibni Tuanku Muhriz, Pro-Canselor UKM. Keberangkatan dan penyempurnaan sidang oleh YAM Tunku Besar Seri Menanti menyerikan lagi majlis serta memberikan makna simbolik terhadap penghargaan universiti kepada kecemerlangan akademik. Sementara itu, Sidang Lapan disempurnakan oleh Yang Berbahagia Profesor Dr. Sufian Jusoh, Naib Canselor UKM, yang dalam ucapannya menzahirkan keyakinan terhadap kemampuan graduan FSSK untuk terus menyumbang kepada masyarakat dan negara melalui kepakaran dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan.

Lebih membanggakan, majlis tahun ini turut menyaksikan kejayaan cemerlang Nurul Faezah binti Mohd Yaacob, graduan Sarjana Muda Komunikasi Media yang telah dianugerahkan Pingat Emas Universiti. Pengiktirafan ini diberikan atas pencapaian prestasi akademik luar biasa serta menunjukkan komitmen tinggi dalam kepimpinan, sahsiah dan penglibatan dalam aktiviti universiti. Kejayaan ini mencerminkan kecemerlangan berterusan FSSK dalam membangunkan modal insan holistik yang dapat menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negara.

Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan sekali lagi mengucapkan tahniah kepada semua graduan yang diraikan pada Majlis Konvokesyen UKM Ke-53. Semoga kejayaan ini menjadi titik tolak kepada pencapaian yang lebih gemilang pada masa hadapan, serta menjadi pemangkin semangat untuk terus menyumbang secara bermakna kepada pembangunan ilmu, masyarakat dan negara.

Lokasi

Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia 43600, Bangi, Selangor, Malaysia

Waktu Operasi

Hak cipta terpelihara @2025 | DCU,FSSK

Translate »