MAG 2025 Merakam Manifestasi Kecemerlangan Warga FSSK

Oleh: Muhammad Akmal Arfan

Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Majlis Anugerah Gemilang 2025 (MAG 2025) FSSK UKM yang berlangsung dengan penuh gemilang di Bangi Avenue Convention Center sebagai simbol penghargaan kepada warga fakulti yang telah menyumbang bakti dan kecemerlangan mereka dalam memacu pembangunan FSSK ke tahap yang lebih unggul.

Majlis tahunan berprestij ini dianjurkan khusus bagi meraikan pencapaian serta dedikasi warga FSSK merangkumi kakitangan akademik dan pelaksana di samping memperkukuh semangat kebersamaan dan kesepaduan dalam komuniti fakulti.

Bertemakan “Kegemilangan Empayar Melaka: Warisan Merentas Zaman”, penganjuran majlis ini membawa aspirasi untuk mengangkat nilai warisan, keunggulan kepimpinan serta semangat ketamadunan sebagai inspirasi kepada warga FSSK dalam meneruskan kecemerlangan institusi di peringkat nasional dan global. Tema ini turut menjadi wadah untuk mengeratkan ukhuwah dan silaturahim dalam kalangan warga fakulti agar terus bersatu hati membawa FSSK ke persada dunia.

Majlis telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Dr. Norinsan Kamil Othman bersama Dekan FSSK, Prof. Dr. Kadaruddin Aiyub melalui simbolik pemotongan pulut kuning sebagai tanda perasmian program.

Sepanjang majlis, para hadirin disajikan dengan pelbagai pengisian menarik termasuk persembahan kreatif daripada setiap pusat kajian dan kedekanan FSSK, cabutan bertuah serta penyampaian 32 Anugerah Gemilang merangkumi pelbagai kategori bagi menghargai sumbangan dan pencapaian warga FSSK.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pro Naib Canselor Strategi dan Kewatanan, Prof. Dato’ Dr. Roslee Rajikan dan pasangan Profesor Emeritus FSSK iaitu Prof. Dato’ Dr. Imran Ho Abdullah dan Prof. Datin Dr. Ruzy Suliza Hasyim sekali gus menyerlahkan sokongan berterusan kepimpinan universiti terhadap kecemerlangan fakulti.

Lokasi

Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia 43600, Bangi, Selangor, Malaysia

Waktu Operasi

Hak cipta terpelihara @2025 | DCU,FSSK

Translate »