Jelajah Naib Canselor Perkukuh Sinergi Kepimpinan Universiti Dan Warga FSSK

Oleh: Ezzatul Nadia Idris

Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), UKM telah menerima kunjungan Naib Canselor bersama barisan Timbalan Naib Canselor sempena program Jelajah Naib Canselor yang berlangsung di Dewan Perdana, FSSK.

Program tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif kepimpinan universiti untuk mendekati warga fakulti serta memperkukuh komunikasi strategik antara pihak pengurusan tertinggi universiti dengan komuniti akademik. Sesi ini memberi ruang kepada warga fakulti untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai perancangan dan hala tuju universiti, di samping berkongsi pandangan serta cadangan secara terbuka.

Sesi yang berlangsung dalam suasana santai namun penuh bermakna itu menjadi platform interaksi dua hala antara kepimpinan universiti dan warga FSSK bagi memperkukuh penyelarasan strategi, memperkasa budaya kerja berprestasi tinggi serta membincangkan hala tuju fakulti selari dengan aspirasi universiti.

Dalam sesi perkongsian tersebut, Naib Canselor turut menyentuh beberapa perkara penting berkaitan hala tuju strategik universiti, termasuk usaha memperkukuh kecemerlangan akademik, memperluas peluang dan sumber dana penyelidikan, serta meningkatkan impak penyelidikan yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara. Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan pembangunan akademik yang berterusan, kesejahteraan warga universiti serta usaha mempertingkatkan reputasi universiti di peringkat nasional dan antarabangsa.

Program ini turut membuka ruang dialog antara pihak pengurusan universiti dan warga fakulti, yang merangkumi perbincangan mengenai cabaran semasa dalam pengurusan akademik, pengukuhan kolaborasi penyelidikan, inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran serta strategi memperkasakan peranan fakulti dalam menyumbang kepada agenda pembangunan universiti.

Kehadiran Naib Canselor bersama barisan Timbalan Naib Canselor jelas memberi suntikan semangat kepada seluruh warga FSSK untuk terus mempertingkatkan kecemerlangan dalam bidang pengajaran, penyelidikan dan khidmat kepada masyarakat selaras dengan peranan universiti sebagai institusi ilmu yang unggul.

Program Jelajah Naib Canselor ini diharap dapat terus menjadi medium yang berkesan dalam memperkukuh hubungan antara kepimpinan universiti dan warga fakulti, sekali gus memupuk semangat kebersamaan dalam merealisasikan aspirasi Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai universiti terkemuka yang berdaya saing di peringkat global.

Lokasi

Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia 43600, Bangi, Selangor, Malaysia

Waktu Operasi

Hak cipta terpelihara @2025 | DCU,FSSK

Translate »